Berita

30 mangsa kebakaran Putra Heights masih dirawat di hospital, seorang di ICU

MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr Zulkefly Ahmad.
- Diterbit 13 April 2025 11:30 AM MYT

SEORANG mangsa kebakaran saluran paip gas di Putra Heights dalam insiden pada hari raya kedua lalu, masih lagi dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital swasta.

Mangsa lelaki berusia 21 tahun itu yang diintubasi bagaimanapun menunjukkan perkembangan semakin baik.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Zulkefly Ahmad, berkata perkembangan terkini mangsa di ICU itu diperoleh daripada pegawai yang merawat pemuda berkenaan.

“Saya mendapat laporan bahawa keadaan mangsa semakin baik.

“Mangsa diintubasi dan masih lagi memerlukan sokongan tetapi menujukkan perkembangan agak baik,” katanya yang ditemui di Majlis Sambutan Wold Physical Activity Day (WOPAD) Peringkat Kebangsaan 2025 bersempena dengan Car Free Day Putrajaya.

MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr Zulkefly Ahmad.

Turut hadir Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Zaliha Mustafa; Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Fadhlun Mak Ujud dan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Suriani Ahmad.

Sementara itu, beliau turut mengesahkan sehingga jam 3 petang semalam, laporan menujukkan 150 mangsa telah dirawat di hospital dan klinik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejak insiden berkenaan.

“Jumlah mangsa yang dirawat menunjukkan penurunan daripada 153 orang turun kepada 150.

“Daripada jumlah itu, 30 masih dirawat di hospital, manakala 120 lagi sudah pun dibenarkan pulang.

“Tiga belas daripadanya di rawat di bawah KKM, sementara 17 lagi di hospital swasta,” katanya.

Dalam kejadian pada 1 April lalu mangsa yang mengalami kecederaan di hantar ke beberapa
hospital termasuk Hospital Serdang, Hospital Cyberjaya, Hospital Putrajaya dan Hospital Sungai Buloh.

Seramai 13 orang berada di zon merah, 55 dirawat di zon kuning dan 43 di zon hijau

Terdahulu, kebakaran saluran gas Petronas pada jam 8.10 pagi itu, mengakibatkan api menjulang hingga lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celcius dan mengambil masa selama hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas