Berita

30 anak yatim dan asnaf terima bantuan

EDDIE (tiga dari kanan) menyampaikan bantuan kepada salah seorang asnaf pada Majlis Penyampaian Bantuan Wakalah Hibiscus Sdn Bhd di JKM Labuan, baru-baru ini.
- Diterbit 24 November 2023 1:05 AM MYT

SERAMAI 30 orang anak yatim dan asnaf di Labuan teruja menerima bantuan daripada Syarikat Hibiscus Petroleum, baru-baru ini.

Pengagihan sumbangan tersebut turut mendapat Kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Labuan bagi mengenal pasti golongan sasar tersebut.

Menurut Pembantu Pegawai JKM Labuan, Mohd Iqbal Mohd Nuri, pihaknya amat berbesar hati dengan sumbangan yang diberikan oleh Syarikat Hibiscus Petroleum dalam membantu meringankan beban golongan tersebut khususnya di Labuan.

“Kami sebagai sebuah agensi kerajaan yang menjunjung aspek kebajikan masyarakat, amat mengalu-alukan pihak swasta, pertubuhan atau perseorangan untuk bersama-sama menjalankan kerja-kerja kebajikan di pulau ini,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Sumbangan Bantuan Wakalah Hibiscus Petroleum di Bangunan JKM Labuan, baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Perhubungan Komuniti dan Kerajaan Hibiscus Petroleum, Datuk Eddie Abdullah.

Sementara itu, seorang penerima yang juga merupakan ibu tunggal, Dayang Fatimah Zahari, 38, menzahirkan kesyukuran atas sumbangan yang membantu meringankan beban menyara dua orang anaknya.
“Terima kasih kepada pihak Hibiscus Petroleum kerana sudi menyumbangkan bantuan ini kepada kami yang kurang berkemampuan. Saya amat bersyukur dengan adanya bantuan ini dapatlah saya membeli barangan keperluan harian dan belanja anak-anak ke sekolah,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas