Artikel

3 wanita besi Wilayah

- Diterbit 31 Disember 2024 11:42 AM MYT

Oleh ZULKIFLI SULONG

MUNGKIN buat pertama kalinya para ahli perniagaan besar di Kuala Lumpur akan mati kutu dalam menguruskan projek mereka. Ini kerana mereka terpaksa berdepan dengan tiga wanita dalam urusan mendapatkan apa-apa projek dan kelulusan di ibu negara.

Mereka terpaksa berdepan dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur yang buat pertama kalinya adalah wanita, Menteri Wilayah Persekutuan juga wanita dan Ketua Pengarah Wilayah Persekutuan yang juga seorang wanita.

Kalau dahulu, ahli perniagaan biasanya merundingkan projek mereka dengan pemimpin di Kuala Lumpur di padang-padang golf atau membawa mereka ke karaoke, namun kali ini amat sukar untuk berbuat demikian.

Ketiga-tiga wanita ini sudah tentulah agak sukar untuk dibawa ke padang golf (kecuali kalau mereka memang minat main golf, tetapi jarang sangat wanita gemar main golf) dan saya penuh yakin agak sukar untuk mereka diajak berkaraoke oleh para ahli perniagaan ini.

Tepat sekali apa yang disuarakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa dalam sesi sidang Dewan Rakyat apabila beliau mengibaratkan mereka sebagai tiga wanita besi ini.

Selain beliau, dua lagi ‘wanita besi’ tersebut adalah Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif dan Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Indera Noridah Abdul Rahim.

Amaran itu sebagai menjawab soalan Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) mengenai isu-isu persundalan dan kebanjiran penjaja warga asing di Kuala Lumpur yang masih tidak berkurangan walaupun KL Strike Force diaktifkan.

“Tiga wanita besi iaitu saya, Datuk Bandar (Maimunah) dan Ketua Pengarah (Noridah) menjaga KL (Kuala Lumpur) ini.

“Insya-Allah kita akan lihat Kuala Lumpur ini bersih daripada segala perkara yang menjadi concern kepada kita (warga) dan insya-Allah saya juga nak ingatkan, jangan macam-macam (amaran) di Kuala Lumpur ini,” katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat.

Jika mereka tidak boleh diajak berunding di padang golf dan bilik-bilik karaoke, bagaimana para ahli perniagaan ini mahu mendapatkan projek di Kuala Lumpur ini?

Jalan terbaik sekarang adalah melalui tender terbuka dan juga presentation yang baik kepada ketiga-tiga wanita yang menjaga ibu negara ini yang dinamakan sebagai ‘Wanita Besi Kuala Lumpur’ ini.

Turut berdepan masalah sekarang adalah pihak-pihak yang terlibat dalam industri hiburan terutama yang berlebih-lebih di Kuala Lumpur sekarang.

Ekoran itu, Dr Zaliha dalam jawapan di Dewan Rakyat juga mengumumkan penubuhan KL Strike Force. Katanya, KL Strike Force merupakan satu unit khas bersepadu yang ditubuhkan secara pentadbiran melalui Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Wilayah Persekutuan pada 27 Mei lalu.

Objektif KL Strike Force adalah untuk menangani isu-isu keselamatan dan ketenteraman awam secara pantas, berkesan dan berterusan di ibu negara.

“Adalah tidak tepat untuk mengatakan tiada pengurangan ke atas kes persundalan di Kuala Lumpur kerana data 2023 menunjukkan hanya 159 serbuan dan 540 tangkapan sahaja berbanding suku ketiga tahun ini.

“Sejak penubuhan KL Strike Force, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama agensi penguatkuasaan telah menyerbu 209 premis yang menawarkan perkhidmatan persundalan,” katanya.

DBKL sudah tentu berdepan dengan cabaran besar di bawah ketiga-tiga wanita besi ini. Tahun 2025 adalah tahun penuh cabaran bila mana Malaysia menjadi pengerusi ASEAN dan Kuala Lumpur sudah tentu menjadi tumpuan utama.

DBKL membuat peruntukan yang besar untuk berdepan tahun 2025 ini, kata Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif.

Wanita besi ini mengumumkan, DBKL memperuntukkan RM2.84 bilion untuk Belanjawan 2025, mencatatkan peningkatan sebanyak 6.57 peratus atau RM175 juta berbanding belanjawan 2024.

Kebanyakan perbelanjaan, iaitu RM2.196 bilion (77.5%), akan diperuntukkan untuk tujuan pengurusan, manakala RM638.65 juta akan digunakan untuk perbelanjaan pembangunan.

Sebanyak RM63.75 juta daripada perbelanjaan pembangunan akan dibiayai oleh geran Kerajaan Persekutuan.

Bekas kakitangan Unesco ini menggambarkan Belanjawan DBKL 2025 sebagai ‘belanjawan perbelanjaan’ dan bukannya ‘belanjawan aspirasi’.

Bertemakan ‘Kuala Lumpur Lestari, Warga Kota Sejahtera’, belanjawan ini dirangka berdasarkan jangkaan keadaan ekonomi yang lebih baik dan sudah berkembang sepenuhnya.

“Belanjawan ini memberi penekanan yang kuat terhadap pelaksanaan projek dan program yang dirancang,” katanya.

Kita berdoa ketiga-tiga wanita besi ini berjaya mengharungi cabaran dengan baik dan menjadi wanita kebanggaan negara.

SETIAP artikel penulis adalah pendapat peribadi‚ bukan pendirian Wilayahku.

[Iklan]

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas