Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

3.45 juta pencarum KWSP pilih Akaun Fleksibel

- Diterbit 27 Jun 2024 1:19 PM MYT

SERAMAI 3.45 juta pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau 26.6 peratus memilih untuk memiliki amaun permulaan di Akaun Fleksibel yang diperkenalkan setakat 10 Jun lalu.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata ia membabitkan jumlah perpindahan RM10.86 bilion daripada Akaun Sejahtera yang sebelum ini dikenali Akaun 2, manakala sejumlah RM4.82 bilion pula telah dipindahkan ke Akaun Persaraan.

“Jumlah ahli yang telah membuat pengeluaran melalui Akaun Fleksibel adalah seramai 2.93 juta atau 22.6 peratus (daripada jumlah keseluruhan ahli dibawah umur 55 tahun) di mana ia melibatkan jumlah pengeluaran sebanyak RM6.98 bilion,” katanya dalam parlimen pada Rabu.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Mohmed Sh Fuzi Sh Ali (BN-Pekan) yang bertanya mengenai penstrukturan semula akaun KWSP serta statistik semasa peratusan pengeluaran wang pencarum daripada Akaun Fleksibel dan apakah kesan jangka masa panjang terhadap kestabilan simpanan persaraan pencarum.

Amir Hamzah berkata bagi terus mengekalkan kestabilan simpanan persaraan ahli, Akaun Persaraan (Akaun 1) diperkasakan lagi untuk membantu meningkatkan simpanan persaraan ahli.

“Bermula 11 Mei 2024, kadar nisbah pengkreditan caruman ahli adalah sebanyak 75:15:10 iaitu 75 peratus dikreditkan ke dalam Akaun Persaraan, 15 peratus Akaun Sejahtera dan baki 10 peratus ke dalam Akaun Fleksibel.

“Kadar nisbah caruman dalam Akaun Persaraan dinaikkan sebanyak 5 peratus berbanding nisbah 70 peratus sebelum ini,” katanya.

Jelas beliau inisiatif tersebut bukan sekadar tindak balas Kerajaan terhadap keperluan semasa, tetapi merupakan langkah proaktif untuk membantu rakyat menghadapi perubahan landskap pekerjaan dan demografi penduduk serta keperluan kitaran hayat ahli KWSP.

“Dengan inisiatif ini, Kerajaan berusaha untuk memastikan setiap ahli KWSP dapat menguruskan kewangan mereka dengan yakin dan berdaya tahan dalam persekitaran yang dinamik serta mencabar pada masa kini,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas