SERAMAI 29,572 pelawat asing telah dikenakan tindakan Notis Penolakan Masuk (NPM) dan ditolak kemasukan serta dihantar pulang ke negara asal bagi tempoh 1 Januari sehingga 15 November lalu.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberitahu, tindakan pemeriksaan ini dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan pelawat yang tiba adalah pelawat tulen.
Menurutnya, pemeriksaan secara rambang kepada pengembara juga dibuat di kawasan pengambilan bagasi bagi memastikan cap atau endosmen yang diberikan oleh pegawai kepada pengembara berkenaan dibuat dengan wajar.
“Tindakan ini adalah sebagai semak dan imbang kepada pemeriksaan imigresen yang telah dibuat dan juga memastikan hanya pengembara yang telah diberikan endosmen yang sah sahaja boleh masuk ke negara ini,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
KDN menjawab soalan Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) mengenai mekanisme diambil kementerian bagi mengenal pasti warga asing yang tinggal lebih masa secara tidak sah.
Kementerian itu menambah, NPM akan dikenakan bagi pengembara yang mencurigakan, tiada bukti keberadaan mereka bagi tujuan transit dan tidak memenuhi syarat kemasukan.
Jelas KDN, perolehan Sistem Saringan Awal Penumpang (APS) membolehkan pengembara disaring lebih awal oleh bilik kawalan dan hanya pengembara tulen yang tidak mempunyai rekod jenayah atau senarai syak sahaja akan dibenarkan terbang masuk ke Malaysia.
Katanya, sistem ini akan mengurangkan risiko di pintu masuk kerana pengembara telag disaring lebih awal.
“Langkah lain adalah mewajibkan pengisian Malaysia Digital Arrival Card (MDAC) kepada semua pelawat bagi memudahkan pengesanan warga asing dan juga memastikan pelawat mempunyai tiket keluar semasa pemeriksaan imigresen untuk mengelakkan mereka tinggal lebih masa,” katanya.
Selain itu jelasnya, operasi penguatkuasaan secara berterusan dilaksanakan terutamanya di 224 lokasi hotspot untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warganegara asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara seperti di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Passport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
Katanya, sepanjang tahun ini iaitu sehingga 21 November, Jabatan Imigresen telah melaksanakan 18,163 operasi penguatkuasaan dengan tangkapan seramai 41,906 orang pendatang asing tanpa izin (PATI). – WILAYAHKU