Berita

29 kawasan di ibu negara alami gangguan bekalan air

- Diterbit 8 Oktober 2024 10:12 AM MYT

SEBANYAK 29 kawasan di ibu negara termasuk di Parlimen, Kuala Lumpur City Center dan Damansara Heights mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan pelaksanaan kerja-kerja kecemasan pembaikan paip pecah di Hub Pasar Seni.

Menurut Air Selangor, gangguan berkalan air bermula pukul 6 pagi tadi dan dijangka siap pada 1 pagi esok.

Katanya, bekalan air akan mula disalurkan kepada pengguna secara berperingkat-peringkat apabila kerja pembaikan siap dan sistem agihan utama bekalan air distabilkan.

“Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada pukul 1 petang, 9 Oktober 2024 (Rabu). Tempoh masa pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.

“Air Selangor akan menggerakkan lori-lori tangki dengan memberikan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian di sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Katanya, pengguna boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau hubungi Air Selangor di talian 15300 atau layari https://airselangor.com. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas