AIF lancar Pelan Tindakan 2025–2028: Perkukuh Pembiayaan Infrastruktur Lestari ASEAN
DANA Infrastruktur ASEAN (AIF), salah satu inisiatif pembiayaan infrastruktur terbesar rantau ini, secara rasmi melancarkan Pelan Tindakan AIF 2025–2028 bagi memacu pembangunan infrastruktur mampan dan berdaya tahan di seluruh Asia Tenggara.
Pelan ini yang diluluskan dalam Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN ke-12 di Kuala Lumpur, dirangka sebagai panduan strategik untuk tempoh empat tahun akan datang dan menegaskan komitmen ASEAN terhadap tadbir urus dan pembangunan lestari.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pelaksanaan pelan tersebut akan melonjakkan peranan ASEAN sebagai penanda aras global dalam pembiayaan pembangunan infrastruktur.
“Pelan Tindakan AIF (2025–2028) penting untuk meyakinkan pelabur dan pembiaya bersama. Ia akan membawa manfaat nyata kepada Negara Anggota ASEAN (AMS) melalui projek-projek infrastruktur lestari yang menyumbang kepada pertumbuhan rantau ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, antara keutamaan segera yang digariskan dalam pelan ini termasuk menambah kapasiti kewangan AIF dengan perolehan modal baharu bagi membolehkan pinjaman lebih besar kepada AMS.
“Selain itu, ia menambah daya saing harga pinjaman AIF melalui semakan dasar dan penyesuaian berkala; memperluas penyelesaian pembiayaan baharu, termasuk untuk projek sambungan serantau seperti ASEAN Power Grid dan pinjaman perintis dalam kewangan Islam; serta meluaskan fasiliti ASEAN Catalytic Green Finance (ACGF) dengan kerjasama bank pembangunan serantau dan penderma awam-swasta untuk memperbesar portfolio projek AIF,” katanya.
Menurut MOF, setakat ini, AIF telah meluluskan lebih $500 juta dan menyalurkan $460 juta bagi menyokong 15 projek di enam negara ASEAN.
“Dengan sokongan penuh dari negara anggota dan rakan pembiaya, pelan ini dijangka memperluas skala dan impak projek infrastruktur hijau di rantau ini,” katanya.
Sementara itu, dalam kenyataan sama, Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar), Kementerian Kewangan merangkap Pengerusi AIF, Datuk Zamzuri Abdul Aziz menegaskan bahawa komitmen Malaysia sebagai pengerusi akan terus kukuh dalam memastikan kejayaan pelan ini.
“Komitmen ini memastikan pembiayaan infrastruktur ASEAN bukan sahaja inovatif dan berimpak tinggi, tetapi selaras dengan visi bersama untuk Asia Tenggara yang lebih bersepadu, berdaya tahan dan lestari,” katanya.-WILAYAHKU