Anwar terima kunjungan hormat Pengerusi Eksekutif IISS-Asia
AINI MAWAWI
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Pengerusi Eksekutif International Institute of Strategic Studies Asia (IISS-Asia), Sir John Miguel Warwick Chipman di Putrajaya semalam.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata pertemuan itu membincangkan hal ehwal geo-strategik serantau terkait keselamatan secara menyeluruh merangkumi aspek pertahanan, ekonomi, sosial, tenaga, kecerdasan buatan, pusat data serta keselamatan siber.
“Sir John Chipman menyatakan kekaguman akan peranan Malaysia dalam menyuarakan kepentingan sejagat serta ketegasan dalam hal-hal terkait situasi di Timur Tengah.
“Saya berkongsi aspirasi Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 yakni keutamaan adalah agar rantau ini aman, stabil dan makmur supaya rakyat di negara-negara ASEAN dapat bergerak seiring ke hadapan, selain kepentingan hubungan akrab dengan pelbagai negara sebagai kunci utama mewujud hubungan diplomatik yang utuh dalam berhadapan pelbagai cabaran global yang dinamik,” ujar beliau.
Anwar berkata, Sir John Chipman turut memanjangkan undangan IISS-Asia kepada beliau untuk memberikan ucapan khas sewaktu Shangri-La Dialoge 2025 yang akan mengambil tempat pada 31 Mei 2025 kelak di Singapura.
“IISS-Asia melihat peranan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 amat penting serta hala tuju yang digerakkan pada tahun ini memberikan impak bukan sahaja kepada rantau Asia Pasifik, malahan ia mendapat perhatian dunia.
“Malah Malaysia turut diundang untuk berperanan dalam IISS Manama Dialoge 2025 pada Oktober.
“Justeru, undangan-undangan ini merupakan suatu penghargaan kepada negara yang menterjemah pengiktirafan dunia terhadap peranan penting Malaysia sekali gus suatu penghargaan ini merupakan suatu bentuk kejayaan Malaysia yang dihormati dunia,” ujar Anwar. – WILAYAHKU