Berita

28 kes pencemaran alam sekitar direkod di Labuan

ZULFADZLI (tengah) menyampaikan cenderahati kepada wakil agensi terlibat.
- Diterbit 26 Julai 2024 9:50 AM MYT

SEBANYAK 28 kes aduan berkaitan pencemaran alam sekitar direkodkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Labuan bermula Januari sehingga Julai tahun ini.

Menurut Pengarahnya, Zulfadzli Zakaria, sebahagian daripada kes yang direkod merupakan kes pencemaran udara iaitu pembakaran secara terbuka yang dilakukan oleh individu mahupun pihak yang tidak bertanggungjawab.

Katanya, daripada kesemua kes yang dicatatkan menunjukkan sebanyak 23 kes adalah pembakaran secara terbuka dan selebihnya merupakan kes-kes lain.

“Walau bagaimanapun, kesemua kes yang pihak kami terima tidak dapat dibawa untuk sebarang dakwaan berikutan tidak mempunyai sebarang bukti yang kukuh bagi disabitkan kesalahan.

“Namun JAS Labuan akan sentiasa melakukan pemantauan, rondaan dan operasi bagi mencegah pembakaran terbuka khususnya pada waktu hujung minggu.

“Ini kerana kita telah mengenal pasti pada setiap hujung minggu kebanyakan orang ramai berada di rumah dan masa itulah akan adanya aktiviti pembakaran secara terbuka,” katanya kepada pemberita pada Program Sesi Perkongsian Ilmu Pencegahan Dan Pemantauan Kebakaran Tanah Gambut Dan Kawasan Lain Yang Berisiko Kebakaran anjuran JAS Labuan.

Tambah beliau, pihaknya turut bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan yang lain bagi memastikan keterjaminan kelestarian alam dapat dipelihara daripada sebarang pencemaran.

Sementara itu, beliau turut menasihatkan agar semua penduduk di pulau itu sentiasa peka terhadap kesan dan akibat daripada aktiviti pembakaran terbuka.

“Saya menyeru kepada semua penduduk di pulau ini agar sentiasa peka dan tidak membuat aktiviti pembakaran secara terbuka kerana ia bukan sahaja membahayakan dan mendatangkan bencana kepada alam sekitar malahan kepada kehidupan kita,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas