TERDAPAT 28 kes buli dilaporkan berlaku di tujuh universiti awam (UA) bagi tempoh 2010 sehingga kini.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberitahu, Universiti Teknologi MARA (UiTM) merekodkan 16 kes diikuti lima kes di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Menurut kementerian itu, tiga kes lagi direkodkan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
“Sementara itu masing-masing satu kes di Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI),” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara.
Kementerian tersebut menjawab soalan Senator Datin Ros Suryati Alang mengenai jumlah kes buli yang berlaku di UA mengikut universiti antara tahun 2010 sehingga kini.
KPT menambah, dalam hubungan ini, antara tindakan yang telah diambil oleh pihak universiti yang terlibat ke atas pelaku buli termasuk buang universiti, kompaun, amaran dan ada yang masih dalam siasatan.
“KPT percaya bahawa pelaksanaan tindakan-tindakan ini dapat membantu meningkatkan tahap keselamatan pelajar daripada menjadi mangsa buli serta menjamin kesejahteraan kampus daripada insiden buli,” katanya. – WILAYAHKU