Berita

28 Hektar kawasan terjejas dalam kebakaran paip gas bawah tanah di Putra Heights

- Diterbit 1 April 2025 8:00 PM MYT

KAWASAN seluas kira-kira 28 hektar telah musnah dan terjejas dalam kebakaran saluran paip gas bawah tanah di Jalan Putra Harmoni pagi tadi.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, memaklumkan lebih 300 premis mengalami kerosakan dalam insiden itu, termasuk 78 rumah kediaman dan 10 unit rumah kedai yang masih dalam pembinaan mengalami kemusnahan teruk.

Katanya, dua lokasi yang terjejas teruk adalah Taman Harmoni di Putra Heights dan Kampung Kuala Sungai Baru, membabitkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang dan DUN Kota Kemuning.

“Setakat ini, seramai 145 individu dilaporkan cedera, dengan 65 masih menerima rawatan manakala 60 telah dibenarkan pulang,” katanya dalam sidang media selepas meninjau lokasi kejadian bersama Perdana Menteri, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay; Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan; Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Abdul Aziz.

Terdahulu, Perdana Menteri ketika ditemui media turut mengumumkan bantuan ihsan antara RM2,500 hingga RM5,000, selain menyediakan penempatan sementara bagi mereka yang kehilangan tempat tinggal bagi membantu mangsa yang terjejas.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas