Berita
- Diterbit 19 Februari 2025 12:06 PM MYT

Institusi Pendidikan Labuan terima hampir RM100 juta peruntukan penyelenggaraan, bina blok baharu

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan komitmennya dalam memastikan peruntukan penyelenggaraan diagihkan secara adil kepada semua institusi pendidikan, termasuk Sekolah Menengah Sains Labuan dan Kolej Matrikulasi Labuan (KML).

KPM memaklumkan, sehingga 31 Disember 2024, sebanyak RM1.137 juta telah disalurkan kepada Sekolah Menengah Sains Labuan untuk kerja-kerja penyelenggaraan, termasuk pembaikan dan penyelenggaraan kuarters guru.

“Dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13), KPM memberi keutamaan kepada pembangunan Sekolah Berasrama Penuh (SBP), seperti pembinaan blok tambahan asrama, ubah suai dan naik taraf blok bengkel, serta dewan makan.

“Manakala untuk KML, sebanyak RM11.1 juta telah diperuntukkan pada tahun 2024 untuk kerja-kerja penyelenggaraan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Menurut KPM, bagi tahun 2025, pihaknya merancang menaik taraf blok pentadbiran, pusat sumber, asrama dan kafeteria pelajar, kuarters, surau, serta kemudahan sukan dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM19.5 juta dan dijangka siap pada Disember 2026.

“Selain itu, KML telah menerima kelulusan projek di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) Rolling Plan 3 (RP3) dengan kos sebanyak RM70 juta untuk pembinaan bangunan tambahan dan naik taraf kemudahan sedia ada.

“Langkah-langkah ini menunjukkan usaha berterusan KPM dalam memastikan institusi pendidikan di Labuan menerima perhatian dan peruntukan yang sewajarnya demi kesejahteraan pelajar dan tenaga pengajar,” katanya.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas