Berita

JIM tahan 56 warga asing termasuk majikan di Semenyih, Balakong

- Diterbit 17 Januari 2025 4:17 PM MYT

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menyerbu kilang kayu serta kilang plastik di Semenyih dan Balakong, Selangor yang menggaji pekerja asing.

Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata serbuan itu dilakukan pasukan operasi pada 13 Januari lepas berdasarkan maklumat awam dan risikan.

“Seramai 82 warga asing serta tujuh rakyat tempatan telah diperiksa. 56 warga asing terdiri tiga lelaki dan empat wanita warga Indonesia serta 27 lelaki dan 11 perempuan rakyat Myanmar telah ditahan.

“Turut ditahan lima lelaki dan seorang wanita warga Bangladesh, empat wanita rakyat Thailand dan seorang lelaki warga China,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zakaria berkata semasa serbuan, terdapat pekerja warga asing cuba melarikan diri serta bersembunyi di dalam kawasan kilang yang dipenuhi timbunan kayu.

“Kesemua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan lanjut.

“Dalam masa sama, sebanyak lima saman turut dikeluarkan kepada rakyat tempatan untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas