Berita

PM tidak setuju tindakan terhadap Fahmi Reza

- Diterbit 21 Disember 2024 4:33 PM MYT

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau tidak bersetuju sekiranya aktivis dan artis grafik Fahmi Reza ditangkap atau didakwa.

“Saya tidak setuju,” katanya ketika menjawab soalan pada sidang media di Subang Jaya hari ini.

Anwar juga tidak percaya setiap kritikan terhadap kerajaan perlu disiasat termasuk mengambil tindakan.

Fahmi sedang disiasat oleh Bukit Aman berhubung grafik mengenai Yang di Pertua Negeri Sabah yang baru dilantik Tun Musa Aman.

Kes disiasat di bawah Akta Hasutan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana menggunakan kemudahan rangkaian secara tidak wajar, dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana menghina dengan sengaja dengan niat untuk mencetuskan pecah keamanan.

Sementara itu, Anwar berkata Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia masih perlu berhubung isu seperti pornografi dan buli siber. Beliau turut memetik kes pempengaruh A. Rajeswary atau Esha yang menjadi mangsa buli siber sehingga menyebabkan kematian.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas