DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengeluarkan arahan henti kerja trrhadap pembinaan sebuah kondominium J Satine di Wangsa Maju.
Dalam kenyataan, DBKL memaklumkan bahawa arahan tersebut dikeluarkan susulan aduan yang diterima pada 7 November lalu daripada penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Wangsa Sari.
“Ia berikutan berlaku suatu letupan di tapak pembinaan tersebut disebabkan kegagalan struktur di Blok C, pembangunan J Satine.
“Siasatan tapak telah dijalankan oleh DBKL dan mendapati terdapat keretakan pada struktur shear wall, tiang dan lantai pada unit – unit yang berada di tingkat lapan (facilities
floor) dan ke atas,” kata DBKL hari ini.
DBKL berkata satu notis di bawah seksyen 70B(2), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) telah dikeluarkan (stop work order) oleh DBKL kepada pihak perunding serta
mengarahkan supaya beberapa perkara diambil tindakan.
“Pihak perunding diarah memberhentikan semua kerja-kerja pembinaan dan menyelenggara tapak bina supaya berada di dalam keadaan bersih dan selamat.
“Perunding juga perlu melantik jurutera bebas bagi menjalankan pemeriksaan integriti struktur
keseluruhan pembangunan J Satine,” katanya.
Menurut DBKL, perunding perlu mengemukakan laporan iaitu hasil dari pemeriksaan integriti struktur.
“Perunding juga perlu enjalankan kerja-kerja rektifikasi berdasarkan pengesyoran daripada jurutera bebas,” katanya.
DBKL berkata tempoh pemberhentian pembinaan projek (stop work order) adalah berdasarkan kepada pelaksanaan perkara-perkara di atas.
“Punca letupan dan kegagalan struktur
belum ditentukan sehingga laporan integriti struktur dikemukakan kepada DBKL,” katanya.
Sementara itu, DBKL mengambil perhatian serius terhadap insiden yang berlaku.
“Orang awam dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi dan mengeluarkan kenyataan tidak berasas khususnya melalui saluran media sosial,” katanya.- WILAYAHKU