AKTRES popular berbakat besar, Siti Saleha mengharumkan nama negara apabila dinobatkan sebagai Bintang Asia Terbaik sempena penganjuran Anugerah Drama Antarabangsa Korea 2024, di Seoul, Korea, pada Selasa
Aktres berusia 34 tahun itu, diangkat hasil keberkesanan lakonannya menerusi drama Seofis.
Penulis skrip popular Marr Mohamad, menyifatkan Saleha layak menang kerana bakatnya yang tidak perlu dipertikaikan lagi.
“Tahniah Sally (Saleha). Awak memang layak. Antara pelakon yang membumi, berbakat besar, sangat-sangat bagus, komited, tak diva, hormat orang. Terus melangit Sally.
“Satu hal yang suka tentang kemenangan Saleha ini adalah beliau menang menerusi drama SeOfis yang bukanlah drama berat, air mata, meroyan-royan tetapi kisah tentang work culture, rutin harian di pejabat, yang sederhana tetapi penuh cabaran tersendiri.
“Rezeki, atas bakat dan lakonannya, beliau menang Anugerah Bintang Asia Terbaik ya. Dan beliau sangat layak,” tulisnya di Instagram story miliknya.
Marr berpendapat, kemenangan Saleha mengubah persepsi sesetengah pihak yang menganggap seseorang pelakon itu perlu membawakan watak berat untuk dinobatkan sebagai pelakon terbaik.
“Ini (kemenangan Saleha) sekaligus membuang jauh persepsi yang karakter berat, berjiwa luar biasa, rentanan atau air mata mungkin ‘tiket’ untuk menang.
“Kadang-kadang rezeki kita ni tak tahu datang dari mana dan bagaimana. Watak Saleha yang bersahaja dalam SeOfis membawa tuah kepadanya. Sekali lagi, bukan sahaja tentang karya tetapi kesungguhan, kerja keras, bakat dan sifat menyenangkan, itu yang buat ramai terpaut hati,” ujarnya.
Marr yang juga penulis skrip drama Cerita Hantu Asrama dan Jejak Karmila ini juga menegur sikap segelintir pelakon baharu yang cerewet tidak bertempat.
“Sesetengah pelakon baharu bila kita offer drama komedi, drama light atau romcom akan merasakan bukan jiwa, bukan standard atau bukan genrenya dan pandang sebelah mata saja.
“Memilih pula tu, bakat tak seberapa tapi star syndrome mengalahkan ko tu (ibarat) Erra Fazira,” tambahnya.
Terdahulu, Anugerah Drama Antarabangsa Korea 2024 yang diadakan di Yeouido KBS Hall, Banpo Hangang Park turut menyaksikan penguasaan pelakon terkenal, Ahn Jae Hong dan Yeom Hye Ran yang masing-masing mengungguli kategori Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik.
Kerja pengarahan sutradara hebat, Park In Je dalam drama Moving turut diiktiraf menerusi kemenangannya untuk kategori Pengarah Terbaik sementara drama Gadis Kretek diangkat sebagai Drama Bersiri Terbaik. – WILAYAHKU