Atlet Wilayah

SUKMA 2024: Joachim tuai emas pertama skuasy

- Diterbit 18 Ogos 2024 6:36 PM MYT

WILAYAH Persekutuan menuai pingat emas pertama mereka dalam sukan skuasy menerusi aksi perseorangan lelaki, Joachim Chuah pada Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 di Pusat Skuasy Sarawak, Kuching hari ini.

Joachim memperoleh pingat emas selepas berjaya menewaskan wakil dari Negeri Sembilan, C Ameeshenraj 11-4, 8-11, 7-11, 11-9, 13-11 pada perlawanan akhir.

Joachim yang ketinggalan lapan mata di set terakhir bagaimanapun berjaya menenangkan diri dan bangkit untuk mengejar mata sekali gus merampas gelaran juara.

Joachim berkata dia tahu bahawa perlawanan hari ini adalah sukar dan perlu lebih bijak dalam mengatur strategi.

“Ia perlawanan yang sangat sukar tambahan pula pihak lawan mempunyai kelebihan dari segi ketinggian membuatkan dia bergerak lebih pantas berbanding saya.

“Saya tidak meletakkan harapan tinggi di sini. Saya hanya mahu melakukan yang terbaik. Namun, saya gembira memenangi emas.

“Terima kasih kepada jurulatih, Ryan, pengurus pasukan serta ibu bapa dan rakan yang banyak menyokong perjalanan saya ini,” katanya kepada Wilayahku.

Sementara itu, Joachim berkata dia kini akan memberi tumpuan kepada acara beregu lelaki bersama Sam Yong.

“Sudah tentu, kami menyasarkan untuk memenangi emas dalam acara beregu, tetapi kami tidak boleh terlalu yakin kerana saya menjangkakan saingan itu sukar,” jelasnya SUKMA Sarawak 2024 merupakan penampilan pertama dan terakhirnya di temasya tersebut.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Skuasy, Ryan Neville Pasqual berkata dia amat berpuas hati dengan prestasi yang ditampilkan oleh atletnya.

“Kita memang sasarkan emas dan dia berjaya dapatkannya dengan aksi yang cemerlang. Corak permainannya sangat bagus pada hari ini meskipun ketinggalan. Saya sangat berpuas hati dan gembira.

“Joachim mempunyai sesi latihan bersama pasukan kebangsaan dan hanya apabila ada kem atau team event sahaja dia akan berlatih bersama team Wilayah Persekutuan. Dia budak yang baik dan sangat memberi kerjasama setiap kali sesi latihan,” ujarnya.

Terdahulu, kemenangan pingat emas yang diperoleh Joachim dalam perseorangan lelaki merupakan pingat emas pertama buat Wilayah Persekutuan yang mana kali terakhir dimenangi oleh Ng Eain Yow pada edisi Perak 2018. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas