PENJAJA gerai ikan singgang yang sebelum ini beroperasi Jalan Dewan Sultan Sulaiman 1 akan ditempatkan semula di lokasi baharu yang lebih kondusif dan dikenali dengan nama Medan Selera Singgang MADANI @ Batu Bata.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataa memaklumkan kerja-kerja meroboh deretan gerai di lokasi asal akan dilaksana pada 22 Januari depan dan pihaknya sudah mengeluarkan notis pemakluman pengosongan tapak itu sejak Oktober tahun lalu.
Menurut DBKL, notis itu menghendaki setiap penjaja mengosongkan tapak selewat-lewatnya 31 Disember tahun lalu dan notis peringatan pula dikeluarkan pada awal Januari tahun ini.
“Lokasi gerai baharu dilihat akan memberi lebih keselesaan kepada penjaja dan pengunjung disebabkan lokasi gerai asal adalah bersebelahan dengan pusat sementara penyembelihan ayam yang boleh menimbulkan bau kurang menyenangkan kepada pengunjung ditambah keadaan kebersihan di sekitar kawasan perniagaan yang tidak memuaskan.
“Tapak tersebut juga terbabit dengan pelaksanaan projek pelebaran jalan,” kata kenyataan itu.
Menurut DBKL, beberapa sesi libat urus di antara DBKL dengan 26 orang penjaja gerai ikan singgang yang terlibat telah mula diadakan sejak tahun 2021.
“Ianya bertujuan untuk membincangkan tawaran dan insentif kepada penjajapenjaja gerai ikan singgang bagi memastikan kelangsungan perniagaan mereka setelah berpindah ke lokasi baru.
“Antara insentif yang bakal diterima oleh penjaja adalah pengecualian sewaan selama tiga bulan kepada penjaja-penjaja setelah berpindah ke Medan Selera Singgang MADANI @ Batu Bata.
“Pelaksanaan kerja-kerja pengindahan dan pencahayaan di laluan pejalan kaki dari stesen LRT Titiwangsa ke Medan Selera Singgang MADANI @ Batu Bata bagi tujuan keselamatan khususnya pengunjung gerai,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu turut memaklumkan, pertukaran nama Medan Selera Damai @ Batu Bata kepada nama baharu iaitu Medan Selera Singgang MADANI @ Batu Bata dibuat adalah bagi mengekalkan jenama ikan singgang yang merupakan lokasi utama peminat ikan singgang di Kuala Lumpur. – WILAYAHKU