SEBANYAK 25,120 laman sesawang melibatkan pelbagai kesalahan termasuk judi dan lucah disekat oleh penyedia perkhidmatan internet selaras dengan permintaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Menurut Kementerian Komunikasi, berdasarkan rekod MCMC dari 2018 sehingga 1 Oktober lalu itu, ia melibatkan 9,847 laman sesawang bagi kesalahan judi dalam talian diikuti 7,846 bagi laman lucah dan jelik.
Katanya, 3,476 laman pelanggaran hak cipta juga disekat dalam tempoh itu selain 563 (pelacuran), 544 (penipuan atau pelaburan yang menyalahi undang-undang) dan 2,644 bagi lain-lain laman sesawang memudaratkan dan berbahaya.
“Kementerian Komunikasi melalui MCMC komited memastikan persekitaran dalam talian yang selamat dan terjamin di Malaysia, mengimbangi perlindungan pengguna internet dengan keperluan akses kepada kandungan dalam talian yang sah.
“Tindakan sekatan terhadap laman sesawang diambil bagi melindungi pengguna dan seterusnya menyediakan persekitaran internet yang selamat kepada masyarakat.
“Kaedah sedia ada yang digunakan untuk sekatan tersebut adalah melalui sekatan Domain Name System (DNS) atau DNS Blocking di peringkat penyedia perkhidmatan internet dalam negara,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Kementerian itu menjawab soalan Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) mengenai perancangan mencegah jenayah siber seperti judi haram siber, laman web pornografi dan sebagainya.
Kementerian Komunikasi menambah, kaedah DNS Blocking berfungsi sekiranya pengguna menggunakan konfigurasi automatik yang diberikan oleh penyedia perkhidmatan internet.
Walau bagaimanapun katanya, terdapat pengguna yang mengubah konfigurasi DNS untuk melangkau sekatan berkenaan yang mendedahkan mereka kepada kandungan terlarang.
Sehubungan dengan itu, Kementerian Komunikasi dan MCMC telah melakukan kajian-kajian yang perlu mengenai pelaksanaan berfasa penghalaan semula DNS melalui libat urus membabitkan penyedia perkhidmatan internet (ISP).
“Hasilnya, MCMC telah mengeluarkan arahan mewajibkan semua ISP di Malaysia menghalakan semula trafik yang menggunakan pelayan DNS pihak ketiga kembali ke pelayan DNS mereka sendiri.
“Namun arahan tersebut telah dibatalkan dan tindakan sekatan sedia ada akan kekal melalui kaedah sekatan DNS tanpa pengalihan trafik DNS,” katanya.
Jelasnya, Kementerian Komunikasi dan MCMC akan meneruskan libat urus dengan semua pihak berkepentingan bagi memperoleh maklum balas termasuk pendekatan alternatif dalam menangani isu kandungan memudaratkan di internet.
Selain itu katanya, keperluan pelesenan ke atas penyedia perkhidmatan pesanan internet dan penyedia perkhidmatan media sosial yang akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2025 memastikan penyedia perkhidmatan bertanggungjawab dan memainkan peranan penting mewujudkan ekosistem dalam talian lebih selamat.
“MCMC juga sedang membangunkan Kod Tatalaku yang yang perlu dipatuhi oleh penyedia perkhidmatan ketika beroperasi di Malaysia.
“Ia merangkumi langkah-langkah keselamatan pengguna dan kanak-kanak, kaedah pelaporan dan aduan serta akauntabiliti pihak penyedia perkhidmatan dalam menangani kemudaratan kandungan dalam talian.
“Kerajaan juga akan membentangkan Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian bertujuan mengekang aktiviti jenayah di media sosial,” katanya. – WILAYAHKU