PERNAH tular di laman media sosial sekitar tahun 2016 kerana menampilkan 30 aneka perisa cakoi manisan di jalanan, kini Golden Stick Cakoi yang terkenal di Johor Bahru dibawa ke pasar malam sekitar Kuala Lumpur dengan menampilkan pelbagai menu terbaharu yang berkonsepkan savuri.
Siapa sangka menu savuri yang diperkenalkan baru-baru ini mendapat sambutan luar biasa apabila sehinggakan pembeli sanggup beratur panjang semata-mata ingin mencuba cakoi dengan perasa baharu tersebut.
Pemiliknya, Mohd Shamsul Ariffin Fadhil, 37, berkata Golden Stick Cakoi menawarkan cakoi berperisa jumbo sosej, telur mayo, tuna spesial, daging kurma, ayam lada hitam, daging lada hitam dan kambing merah.
“Antara yang menjadi pilihan ramai adalah kambing merah, daging lada hitam dan sosej jumbo. Mungkin tarikannya dari segi rasa kerana mereka dapat rasa daging kambing dan lembu yang lembut, tidak keras dan lebih pedas. Selain menawarkan menu savuri tersebut, kami juga menghidangkan cakoi asli yang dimakan bersama kaya dan sambal kacang,” katanya kepada Wilayahku.
Bercerita mengenai idea untuk memberi nafas baharu kepada cakoi, Mohd Shamsul berkata ia tercetus selepas perniagaannya mendapat fenomena dan bermula daripada situ, dia ingin menampilkan kelainan.
“Sekitar tahun 2016, saya menampilkan 30 perisa cakoi manisan di Johor Bharu dan ia mendapat perhatian ramai. Disebabkan itu, saya terfikir untuk meneruskan fenomena tersebut dengan savuri yang bukan sahaja enak tetapi dapat memberi kekenyangan.
“Saya mengolah semula formula membuat adunan doh cakoi agar ia sesuai untuk diletakkan pelbagai perisa di bahagian atas dengan mengurangkan minyak dan memastikan teksturnya tidak lembik.
“Setiap kali menghasilkan menu baharu, saya kena letakkan diri saya sebagai pelanggan atau orang yang hendak makan. Oleh sebab itu, saya tidak mahu cakoi ini terlalu berminyak namun ingin kekalkan rasa kerangupan tersebut,” katanya.
Sejak menampilkan menu savuri pada 1 November lepas, dia menerima banyak respons positif daripada pelanggan selain mampu menghabiskan sebanyak 38 kilogram (kg) tepung bersamaan 2,500 cakoi dalam masa satu hari.
“Alhamdulillah respons sangat memberangsangkan. Rata-rata pelanggan yang datang mengakui intinya padat selain cakoi ini tidak lemau dan masih rangup walaupun dimakan lewat.
“Jangan bimbang, istimewanya ia masih sedap dan lembut biarpun masuk hari ketiga. Kalau masuk peti sejuk beku, rasanya masih sama tetapi sebaiknya dipanaskan terlebih dahulu untuk rasa kerangupan dan kuah perapan terutama pada menu kambing dan daging lada hitam,” ujarnya.
Bagi sesiapa yang ingin merasai keunikan menu ini boleh mengunjungi Pasar Malam Bandar Baru Ampang, Pasar Malam Ukay Perdana, Pasar Malam LRT Jelatek dan Pasar Malam Taman Melawati, Kuala Lumpur di mana harga yang ditawarkan adalah RM6 (kecuali cakoi kambing merah RM9), cakoi asli (6 keping hingga RM10) sementara pau kacang merah dan pau kacang hijau (RM2). – WILAYAHKU
(Foto oleh SYUQQREE DAIN, video oleh HASIF HALIMI)