Berita

2,500 benih anak ikan siakap dilepaskan di Sungai Kina Benuwa

- Diterbit 14 Jun 2023 7:21 AM MYT

SEBANYAK 2,500 benih ekor anak ikan Siakap dilepaskan Jabatan Perikanan Labuan di perairan umum Kina benuwa bagi meningkatkan populasi kehidupan ikan air tawar di pulau itu.

Menurut Pengarahnya, Faizal Ibrahim Suhaili, pelepasan benih anak ikan itu adalah bertujuan bagi memastikan kelestarian sumber perikanan darat terus terpelihara.

“Dengan usaha ini turut memberikan kesan positif kepada para nelayan di pulau ini kerana ianya dapat meningkatkan hasil tangkapan mereka kelak.

“Program ini telah mula dijalankan sejak empat tahun lalu dan bagi pelepasan benih ikan kali ini merupakan kali ke empat kita laksanakannya untuk memulihara kelestarian sumber perikanan di perairan umum di Labuan,” katanya kepada pemberita selepas majlis Pelepasan Benih Ikan di perairan Sungai Kinabenua, pada Rabu.

Majlis itu pelepasan itu disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Rithuan Mohd Ismail.

Dalam pada itu, Rithuan menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Perikanan Labuan kerana meneruskan usaha bagi memulihara kelestarian kehidupan air tawar di pulau itu.

“Inisiatif ini mampu meningkat semula jumlah ikan di perairan di sini sekaligus dapat memberikan manfaat kepada lebih 500 nelayan di Labuan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas