SERAMAI 250 petugas barisan hadapan yang berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya menerima sumbangan Aidilfitri berjumlah RM50,000 daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Sumbangan Kasih MADANI Aidilfitri.
Sumbangan tersebut diserahkan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim sebagai tanda penghargaan Perdana Menteri kepada petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus menjaga keamanan dan keselamatan tanpa mengira waktu.
“Saya fikir antara yang membuatkan Perdana Menteri setuju untuk beri sumbangan ini kerana menghargai jasa dan sumbangan kepada petugas barisan hadapan ini.
“Hari ini sumbangan sebanyak RM50,000 yang merupakan peruntukan khas Perdana Menteri yang akan diagihkan kepada 250 penerima,” katanya pada Majlis Iftar dan Penyerahan Sumbangan Kasih MADANI Aidilfitri di IPD Putrajaya.
Berkongsi pesanan Perdana Menteri kepada warga IPD Putrajaya, Muhammad Kamil berkata Anwar berkata jasa dan sumbangan petugas barisan amat bermakna kerana mengutamakan tugas tanpa mengenal erti penat serta lelah.
“Dalam hal ini, pihak berkuasa terutamanya PDRM telah menjalankan tugas dengan baik dalam membasmi hal-hal berkaitan jenayah dan mengelakkan daripada perkara-perkara yang lebih buruk,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata sumbangan yang dihulurkan kepada 250 warga IPD Putrajaya itu sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban mereka dalam membuat persediaan sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.
“Saya ucap terima kasih kepada atas sumbangan yang diberikan, yang mana ianya sangat memberi makna dan dapat meringankan beban penerima yang kebanyakannya sudah bekeluarga.
“Saya berharap majlis iftar ini akan menjadi jambatan penghubung silaturahim antara warga IPD Putrajaya dan warga Pejabat Perdana Menteri.
“Kami berbangga kerana terpilih untuk menjadi tuan rumah kepada program yang murni ini,” katanya. – WILAYAHKU