SERAMAI 250 pelajar menerima bantuan awal Institut Pengajian Tinggi (IPT) bagi membantu pelajar daripada keluarga yang memerlukan di Wilayah Persekutuan.
Penyerahan itu dibuat dalam Majlis Penyerahan Bantuan Awal IPT oleh Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Dewan Masjid Jamek Kampong Baru, Kuala Lumpur.
“Program ini bertujuan membantu pelajar daripada keluarga yang memerlukan di Wilayah Persekutuan untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi tanpa beban kewangan.
“Seramai 250 pelajar menerima bantuan sebanyak RM700 setiap seorang, dengan jumlah keseluruhan RM175,000,” menurut YWP di Facebook.
Turut hadir dalam majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif YWP, Dr Abdul Basir V. Kunhimohamed; Ahli Lembaga Pemegang Amanah YWP, Mohd Mustafa Ghazanfar; Ahli Lembaga Pemegang Amanah YWP Rohani Hussin dan pengurusan tertinggi YWP.
Sementara itu, DBKL pula diwakili Timbalan Pengarah Kanan Jabatan Pembangunan Komuniti Dan Kesejahteraan Bandar, Ahmad Ibnu Sina Termizi selaku wakil Datuk Bandar Kuala Lumpur.
YWP sentiasa komited untuk menyokong pelbagai inisiatif pembangunan sosial, pendidikan dan kebajikan yang memberi impak positif kepada masyarakat. – WILAYAHKU