SERAMAI 25 mangsa insiden letupan saluran paip gas di sini menerima bantuan kenderaan kereta Chery pagi tadi, yanv merupakan satu usaha pantas kerajaan negeri Selangor bagi meringankan beban dan memulihkan rutin harian mereka.
Majlis penyerahan berlangsung di kawasan berhampiran lokasi kejadian dengan kehadiran Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Komunikasi Digital, Gobind Singh Deo. Turut hadir Exco Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Selangor, Ng Sze Han, yang menyampaikan kunci kenderaan kepada para penerima mewakili kerajaan negeri.
Ng berkata, penyerahan ini merupakan langkah awal dalam memastikan mangsa dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa, khususnya menjelang minggu depan apabila orang ramai mula kembali bekerja dan anak-anak memulakan sesi persekolahan.
“Kami memahami keperluan mendesak mangsa untuk bergerak ke tempat kerja dan menghantar anak ke sekolah. Justeru, kenderaan ini dihantar tepat pada masanya bagi mengurangkan kesulitan yang mereka alami,” katanya menerusi catatan di Facebook.
Beliau turut memaklumkan bahawa baki kenderaan akan diserahkan secara berperingkat dalam beberapa hari akan datang, selaras dengan usaha berterusan kerajaan negeri membantu mangsa pulih sepenuhnya.
Sumbangan kenderaan Chery ini merupakan hasil kerjasama strategik antara pihak swasta dan kerajaan negeri, yang menurut Ng, mencerminkan semangat solidariti dalam menghadapi krisis.
Insiden letupan paip gas yang berlaku baru-baru ini mengakibatkan kerosakan teruk ke atas puluhan kediaman dan kenderaan penduduk di kawasan terjejas. Kerajaan negeri sebelum ini telah mengumumkan pelbagai bentuk bantuan termasuk tempat tinggal sementara, bantuan tunai, dan kini, kemudahan pengangkutan.
Difahamkan, kerajaan negeri akan terus memantau keadaan mangsa dan bersedia menyalurkan lebih banyak bantuan jika diperlukan.-WILAYAHKU