SEBANYAK 246 ekor burung merbuk dari negara ASEAN beradu suara dalam Pertandingan Gurindam Merbuk Putrajaya Siri 1 2024 yang diadakan di Padang Semarak, Taman Wetland, Presint 13, Putrajaya baru-baru ini.
Menurut Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk TPr Fadlun Mak Ujud, penganjuran acara tersebut sebagai platform bagi mengumpul semua penggemar burung merbuk di dalam dan luar negara untuk berkunjung ke pusat pentadbiran kerajaan itu.
“Setelah berjaya menganjurkan pertandingan di peringkat kebangsaan dan ASEAN pada penganjuran sebelum ini, pihak PPj berhasrat untuk meneruskan lagi acara ini pada tahun 2024 dan akan datang.
“Penganjuran Gurindam Merbuk Putrajaya Siri 1 berjaya menarik lebih banyak penyertaan dan pengunjung yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan peringkat golongan sasar dari dalam dan luar negara.
“Padang Semarak di Taman Wetland dijadikan lokasi Taman Burung Merbuk sekali gus sebagai tapak bagi Pertandingan Seni Suara Merbuk yang merupakan acara bulanan di Putrajaya,” ujarnya.
Di samping itu, beliau berkata pertandingan itu dilaksanakan untuk memberi peluang khususnya kepada warga Putrajaya dan kawasan sekitarnya untuk mendapatkan pendedahan serta pengetahuan berhubung dengan teknik dan kaedah terbaik penjagaan burung merbuk selain membudayakan seni suara merbuk yang menjadi salah satu tradisi warisan negara ini.
“Penganjuran Gurindam Merbuk Putrajaya pada bulan hadapan menjangkakan sebanyak 300 penyertaan pengunjung tempatan serta luar negara ke Wilayah Persekutuan Putrajaya.
“Keunikan dan kelunakan melodi suara merbuk ini mempunyai daya tarikan serta peminatnya yang tersendiri,” ujarnya penganjuran program tersebut merupakan kerjasama pihak PPj bersama Jabatan Landskap & Taman serta rakan strategik iaitu Persatuan Seni Suara Merbuk Dan Terkukur Malaysia.
Lebih menarik, terdapat aktiviti-aktiviti jualan produk untuk burung seperti sangkar serta makanan burung selain orang ramai juga turut berpeluang untuk mendapatkan khidmat nasihat dan berkongsi pengetahuan berkaitan aspek penjagaan burung merbuk sepanjang acara berlangsung.
Terdahulu, Pertandingan Seni Suara Merbuk (Peringkat ASEAN) 2016 turut diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) kerana menerima sebanyak 1,237 penyertaan burung merbuk sekali gus menjadikan ia bilangan terbanyak dalam acara seumpamanya di Malaysia. – WILAYAHKU