Berita

24 pelajar terima Bantuan Awal IPT

ABDUL BASIR (tujuh dari kiri) bersama penerima Skim Bantuan Awal IPT.
- Diterbit 24 Mac 2025 3:30 PM MYT
YAYASAN Wilayah Persekutuan (YWP) terus komited dalam membantu pelajar yang kurang berkemampuan menerusi Skim Bantuan Awal IPT bagi meringankan beban mereka sebelum melangkah ke Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif YWP, Dr Abdul Basir V Kunhimohamed, seramai 24 pelajar dalam lingkungan 19 hingga 23 tahun telah dipilih di bawah skim tersebut.

“Setiap pelajar menerima sumbangan sebanyak RM700 secara one-off, yang diharapkan dapat digunakan untuk menampung perbelanjaan awal seperti pembelian buku, pendaftaran dan keperluan lain sebelum memulakan sesi pengajian,” katanya.

Mengulas tentang usaha yang dijalankan, Abdul Basir berkata bidang pendidikan dan sosial merupakan fokus utama YWP kerana ia mampu membawa seseorang itu keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Pendidikan merupakan perkara penting yang perlu dimulai sedari awal lagi sejak zaman kanak-kanak kerana melaluinya seseorang pelajar itu mampu mengubah hidup serta tidak mewarisi kemiskinan keluarga pada masa hadapan.

“Jadi, kami di YWP sentiasa membantu golongan pelajar dengan menyediakan pelbagai bantuan serta program agar mereka tidak tercicir sekali gus mampu berjaya sama seperti pelajar-pelajar daripada kalangan keluarga yang berada di atas paras garis kemiskinan,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Basir berkata pihak YWP sentiasa komited untuk menyokong pelbagai inisiatif pembangunan sosial, pendidikan dan kebajikan yang memberi impak positif kepada masyarakat.

“Oleh itu, usaha seperti ini perlu diteruskan dan diperluaskan lagi pada masa hadapan agar lebih ramai golongan muda yang berbakat dapat merealisasikan potensi mereka.

“Gunakanlah bantuan ini sebaik-baiknya untuk melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk menghadapi cabaran masa hadapan,” katanya.

Terdahulu seramai 24 pelajar telah dipilih sebagai penerima manfaat ini dalam Majlis Penyerahan Skim Bantuan Awal IPT, Bantuan Khas, Skim Prihatin dan Bantuan badan bukan kerajaan (NGO) yang diadakan di Wisma YWP baru-baru ini.

Skim Bantuan Awal IPTA & IPTS ini merupakan salah satu inisiatif YWP dengan sokongan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan melanjutkan pengajian tanpa dibebani masalah kewangan. – WILAYAHKU
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas