Berita

24 laporan polis diterima berhubung penipuan pakej pelancongan ke Korea Selatan

- Diterbit 19 Disember 2024 6:39 PM MYT

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menerima 24 laporan daripada individu yang mendakwa menjadi mangsa penipuan pakej pelancongan ke Korea Selatan oleh seorang pempengaruh membabitkan kerugian RM454,450.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, sebahagian daripada kes turut dirujuk kepada Tribunal Tuntutan Pengguna, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk tindakan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999.

“Adalah dinasihatkan kepada mangsa-mangsa yang terlibat untuk segera tampil membuat laporan di mana-mana balai polis supaya siasatan sewajarnya dapat dilakukan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, sebagai langkah pencegahan dalam membendung kes penipuan pakej pelancongan, individu yang berhasrat membeli pakej pelancongan dinasihatkan melayari portal rasmi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (www.motac.gov.my/semakan).

“Selain itu membuat semakan pendaftaran agensi yang menawarkan pakej pelancongan berkaitan.

“Langkah mudah ini amat penting bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan pakej pelancongan yang ditawarkan oleh syarikat tidak berdaftar,” katanya.

Terdahulu tular di media sosial, video luahan seorang individu yang mendakwa menjadi mangsa penipuan pakej pelancongan itu oleh pempengaruh berkenaan.

Namun begitu pempengaruh terbabit dilaporkan memohon maaf dan memberi jaminan akan menyelesaikan tunggakan bayaran kepada pelanggan terkesan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas