SEBANYAK 24 kes kejadian lubang benam (sinkhole) telah dilaporkan di seluruh negara dalam tempoh lima tahun terakhir (2019-2024), dengan Perak mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 11 kejadian.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata bahawa selain Perak, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang masing-masing merekodkan tiga kes, Kelantan mencatatkan dua kejadian, manakala Negeri Sembilan, Kedah, Selangor, Melaka dan Perlis masing-masing merekodkan satu kejadian.
“Data ini diperoleh daripada Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), yang sentiasa memantau risiko bencana geologi, termasuk kejadian lubang benam yang boleh menjejaskan keselamatan awam serta pembangunan infrastruktur negara,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Menyedari ancaman yang semakin meningkat, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRESS) sedang meneliti semula peraturan berkaitan pembangunan di kawasan berisiko tinggi untuk memastikan keselamatan awam lebih terjamin.
Menurut Nik Nazmi, JMG berperanan sebagai agensi teknikal tetap dalam pelbagai perancangan pembangunan termasuk Majlis Perancangan Fizikal Negara, Rancangan Struktur Negeri, dan Pusat Setempat (OSC).
“JMG sentiasa komited dalam penilaian bahaya dan risiko geologi bagi memastikan kawasan pembangunan tidak terdedah kepada bencana seperti lubang benam,” katanya.
Selain itu, Nik Nazmi berkata kerajaan bersetuju untuk menyemak semula piawaian pembangunan di kawasan yang dikenal pasti sensitif terhadap bencana geologi.
“Perhatian utama akan diberikan kepada maklumat geologi persekitaran tapak pembangunan, yang menjadi asas dalam penyediaan laporan cadangan pemajuan serta laporan geoteknikal,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menyatakan penguatkuasaan terhadap ketidakpatuhan syarat pembangunan terletak di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan.
“Namun, kementerian melalui JMG sentiasa bersedia memberikan kepakaran teknikal bagi membantu mengenal pasti punca risiko bencana geologi.
“Langkah ini diharap dapat mengurangkan kejadian lubang benam pada masa akan datang serta memastikan pembangunan di Malaysia lebih selamat dan lestari,” katanya.-WILAYAHKU