LABUAN – Tindakan 24 individu yang berkeliaran sekitar bandar ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membawa padah apabila mereka ditahan polis, semalam.
Ketua Polis Daerah Labuan Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, pihaknya yang melakukan pemantauan bermula dari pukul 6 pagi hingga 12 tengah malam mendapati semua suspek melanggar PKP Fasa Ketiga.
Beliau berkata, semua suspek yang ditahan berusia 21 hingga 49 tahun di mana 14 daripadanya adalah lelaki manakala 10 lagi perempuan.
“Mereka (suspek) didapati berkeliaran di sekitar bandar tanpa sebarang tujuan dan alasan yang kukuh.
“Kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Beliau berkata, permohonan reman selama empat hari ke atas semua suspek dijalankan hari ini.
“Suspek disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan.
“Untuk itu, operasi pemantauan PKP akan dipergiatkan di semua tempat yang dikenal pasti termasuk di pinggir bandar dan dikawasan kampung,” katanya.
Muhamad Farid berkata, dengan penambahan tangkapan, jumlah individu yang ditahan sepanjang PKP hingga ke hari ini adalah seramai 42 orang. – WILAYAHKU