Berita

238,000 penjawat awam dapatkan khidmat nasihat AKPK

- Diterbit 25 Februari 2025 9:58 AM MYT

SERAMAI 238,000 penjawat awam telah mendapatkan khidmat nasihat kewangan daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi membantu mereka mengurus hutang dan kewangan dengan lebih baik setakat 30 November 2024.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa, berkata kerajaan memandang serius perkara ini dan telah merangka beberapa langkah bagi memastikan penjawat awam tidak terbeban dengan hutang sehingga menjejaskan prestasi kerja.

“Peraturan 13, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 jelas menyatakan bahawa penjawat awam tidak boleh berada dalam keterhutangan kewangan yang serius. Jika berlaku akibat faktor yang tidak dapat dielakkan, kerajaan boleh mempertimbangkan bantuan sewajarnya.

“Statistik ini menunjukkan bahawa isu keterhutangan serius dalam kalangan penjawat awam semakin membimbangkan, meskipun mereka menikmati kestabilan pekerjaan dalam sektor kerajaan,” katanya dalam jawapan di Parlimen hari ini.

Menurut beliau, jika seorang penjawat awam mengalami masalah hutang yang serius atau berdepan tindakan undang-undang akibat hutang, mereka diwajibkan segera melaporkan perkara tersebut kepada Ketua Jabatan masing-masing.

“Ketua Jabatan akan memantau situasi pegawai terbabit secara berkala dan, jika perlu, merujuk mereka kepada AKPK bagi mendapatkan bimbingan serta khidmat nasihat kewangan.

“Kerajaan juga sedang memperkukuhkan langkah pencegahan dengan memperkenalkan modul khas berkaitan pengurusan kewangan dalam Program Transformasi Minda (PTM) untuk penjawat awam baharu, ” katanya.

Zaliha menjelaskan bahawa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kini dalam proses menambah baik Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM) dengan memasukkan Modul Pengurusan Kewangan Peribadi yang digubal bersama AKPK.

“Modul ini bertujuan memberi ilmu asas kepada penjawat awam tentang cara mengurus kewangan dengan lebih bijak, mengawal perbelanjaan serta membuat keputusan kewangan yang lebih baik,” katanya.

Ujarnya, langkah tersebut adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memastikan penjawat awam tidak terjerumus dalam masalah kewangan yang serius, sekali gus membantu mereka mencapai kestabilan kewangan sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.

“Kerajaan berharap pendekatan holistik ini dapat mengurangkan beban hutang dalam kalangan penjawat awam, memastikan kecekapan kerja serta kesejahteraan mereka terus terpelihara, ” katanya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas