Berita

23 pengadil tempatan diiktiraf FIFA

- Diterbit 16 Januari 2025 10:47 AM MYT

SEBANYAK 23 pengadil Malaysia didaftarkan dan diiktiraf sebagai pengadil Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) 2025 tahun ini.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkata pemilihan yang dibuat oleh Panel Pengadil Antarabangsa FIFA itu terdiri daripada enam pengadil, lapan penolong pengadil, tiga pengadil futsal dan dua pengadil bola sepak pantai.

“Turut tersenarai empat pengadil wanita yang terdiri daripada seorang pengadil, dua penolong pengadil dan seorang pengadil futsal.

“Mohd Nazmi Nasaruddin yang merupakan pengadil FIFA sejak 2016 mengetuai senarai enam pengadil selain Razlan Joffri Ali (2018), Tuan Mohd Yaasin Tuan Mohd Hanafiah (2020), Usaid Jamal (2022), Kamil Zakaria (2024) dan Izzul Fikri Kamaruzaman yang baru tersenarai tahun ini.

“Penolong pengadil dibarisi oleh Zairul Khalil Tan, Muazi Zainal Abidin, Arif Shamil Abd Rasid, Farhan Abdul Aziz, Shafiq Ahmad Said, Nadziran Aziz, Kesava Raj dan Saharudin Isahak manakala pengadil futsal pula terdiri daripada Helday Idang, Norafendy Norhayalan dan Faiz Jamaluddin.

“Senarai itu juga menyaksikan Malaysia menjadi negara kedua paling ramai pengadil FIFA dalam kalangan negara ASEAN,” katanya dalam satu kenyataan.

FAM berkata Malaysia turut memiliki dua pengadil bola sepak pantai iaitu Amirul Aizat Lodin dan Syahir Shaharul Nizam yang telah didaftarkan sejak 2023.

“Empat pengadil wanita Malaysia turut diiktiraf oleh FIFA iaitu Ain Izzaty Zainal selaku pengadil utama sejak 2024, sementara tiga lagi pengadil ialah Nur Akmal Anuar, Munirah Ha Ali (penolong pengadil) dan juga Atikah Janah (pengadil futsal).

“Dengan perkembangan terbaharu ini, ia dilihat selaras dengan Pelan Strategik Fasa 2 F:30 2023-2026 yang direncana FAM bagi melahirkan lebih ramai pengadil bertauliah FIFA termasuk dalam kalangan pengadil wanita,” katanya.

Thailand memiliki pengadil paling ramai diiktiraf FIFA bagi negara ASEAN dengan enam pengadil lelaki, tiga pengadil wanita, 11 penolong pengadil (lapan lelaki, tiga wanita), lima pengadil futsal dan dua pengadil bola sepak pantai manakala Vietnam di tempat ketiga dengan 19 pengadil. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas