Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

23 kes demam denggi baharu direkodkan – JK Labuan

GOTONG-ROYONG dijalankan bagi menghapuskan tempat pembiakan nyamuk
- Diterbit 28 Jun 2024 3:20 PM MYT

JABATAN Kesihatan Labuan merekodkan kes demam denggi baharu dengan jumlah kumulatif sebanyak 23 kes.

Menurut Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) Labuan, Dr Mohd Zaki Ab Hamid, Kampung Patau-Patau Satu merupakan lokaliti yang masih aktif dengan mencatatkan sembilan kes denggi.

Katanya, unit penguatkuasaan Jabatan Kesihatan Labuah telah dikerahkan ke lokaliti tersebut dan mengambil tindakan undang-undang termasuk mengeluarkan lima kompaun dan denda RM500 setiap satu sejak Januari tahun ini.

“Kita menyeru masyarakat setempat sentiasa peka serta meningkatkan kesedaran tinggi berkaitan kepentingan mengekalkan persekitaran bagi mencegah nyamuk aedes daripada membiak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes 2024 Peringkat Labuan sempena Hari Denggi ASEAN di sini, baru-baru ini.

Jelas beliau, pada Minggu Epid 24 tahun ini, negara telah merekodkan sejumlah 2,900 kes demam denggi dengan peningkatan 15.6 peratus bersama dengan 392 kes baharu berbanding tahun sebelumnya.

Katanya, daripada jumlah tersebut Labuan merupakan salah satu negeri yang menyumbang kes demam denggi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Ibrahim Tambi menyeru masyarakat di pulau itu sentiasa peka dan menjaga kebersihan kawasan persekitaran agar tidak menjadi tempat pembiakan aedes.

“Saya menyeru kepada semua masyarakat khususnya di lokaliti yang mencatatkan kes denggi untuk bersama-sama dengan pihak Jabatan Kesihatan Labuan untuk memerangi wabak ini agar ianya dapat dibendung dan seterusnya mampu menjamin keselamatan dan kesihatan semua khususnya masayarakat di sini,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas