Berita

210 premis dipantau

- Diterbit 28 Oktober 2024 7:54 PM MYT

SEBANYAK 210 premis perniagaan di seluruh kawasan pulau ini diperiksa secara bersemuka, dipantau dan diberikan pencerahan oleh Jabatan Kesihatan Bahagian Labuan bagi akta baharu, Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (AKTA 852).

Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (Labuan), Dr Francis Paul, lawatan itu merupakan Operasi Penguatkuasaan Secara Pendidikan yang dilaksanakan di sekitar Labuan pada 1 Oktober lalu hingga kini.

Katanya, operasi tersebut bertujuan untuk menghebahkan kepada semua agensi berkaitan, badan profesional, badan bukan kerajaan (NGO), persatuan peniaga dan pengguna serta seluruh lapisan masyarakat di Labuan khususnya supaya dapat bersama-sama memberikan sokongan dan kerjasama dalam menguatkuasakan Akta 852.

“Tiada kesalahan yang dikesan menerusi 21 operasi dengan membabitkan seramai 31 penguat kuasa dari jabatan ini dikenakan terhadap premis, sebaliknya hanya memberi amaran berbentuk literasi, pencerahan dan penjelasan.

“Sekiranya mereka masih ingkar melakukan kesalahan sama berkuat kuasa pada 1 April tahun depan, pihak kami juga turut mengambil tindakan penguatkuasaan secara berterusan terhadap kesalahan di bawah Seksyen 16 (2) iaitu merokok di kawasan larangan merokok,” katanya kepada pemberita selepas Operasi Penguatkuasaan Secara Pendidikan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (AKTA 852) di sekitar Labuan, baru-baru ini.

Justeru itu, Francis berkata pihaknya sentiasa mengadakan hebahan dan promosi untuk meningkatkan kesedaran tentang bahaya tabiat merokok termasuk penggunaan rokok elektronik. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas