Berita

20,809 akuan pengguna di Labuan bakal alami gangguan bekalan air

- Diterbit 12 Disember 2024 3:13 PM MYT

KIRA-KIRA sejumlah 20,809 akaun pengguna Bahagian Bekalan Air (BBA) Labuan bakal mengalami gangguan bekalan air susulan kerja-kerja penyambungan paip di Loji Rawatan Air Lawa Gadong, Beaufort, Sabah pada 18 Disember ini.

Menurut kenyataan BBA Labuan hari ini, penutupan berjadual itu dilaksanakan bagi pembekalan air terawat fasa satu dan fasa dua di Loji Rawatan Air Lawa Gadong Beaufort Sabah dan kerja-kerja penyambungan paip pumping fasa dua di Pulau Enoe.

“Gangguan bekalan air itu akan melibatkan seluruh kawasan Labuan kecuali District Merered Area (DMA) UMS iaitu UMSKAL, Sekolah Menengah Sains, Kampung Sungai Miri / Sungai Pagar, Kampung Sungai Lada dan sebahagian Bukit Timbalai dan kawasan berhampiran,”katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

BBAL memaklumkan masa pembaikan bermula 8.30 pagi (18 Disember) hingga selesai dan bekalan air dijangka pulih dalam masa 24 jam selepas kerja-kerja pembaikan paip selesai.

“Justeru, para pengguna diharap dapat membuat penyimpanan air secukupnya. Sebarang kemas kini berkaitan rujuk laman Facebook rasmi BBA Labuan,”katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas