Berita

2,000 warga Labuan rai Sambutan Tahun Baharu Cina, Hari Wilayah Persekutuan 2025

- Diterbit 1 Februari 2025 4:26 PM MYT

LEBIH 2,000 warga di pulau ini memeriahkan Sambutan Tahun Baharu Cina dan Hari Wilayah Persekutuan 2025 yang dianjurkan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Labuan dengan kerjasama Dewan Perniagaan Tionghua
Labuan, semalam.

Program yang berlangsung di Dataran Labuan yang dirasmikan oleh Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan Simsudin Sidek turut disaji pelbagai persembahan Tarian Singa, Tarian Cina dan Bunga Api Ambang Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2025.

Simsudin dalam ucapannya menyeru warga di pulau itu untuk sentiasa menjaga kepelbagaian bangsa dan budaya serta adat resam dari generasi muda hingga ke peringkat yang lebih dewasa.

Katanya, dengan kepelbagaian budaya serta sambutan yang terdapat di negara ini akan menjadi tunjang keharmonian serta semangat perpaduan, saling hormat-menghormati dan memelihara nilai-nilai murni sesuai.

“Ini selari dengan hasrat dan dasar yang dibawa oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memupuk semangat perpaduan dan keharmonian.

“Malam ini kita bersama- sama meraikan sambutan Sambutan Tahun Baru Cina dan penganjuran ini merupakan julung kalinya diadakan di Labuan denngan menggabungkan semua unsur kebudayaan dari masyarakat Tionghua.

“Sempena Hari Wilayah Persekutuan dengan tema ‘Wilayah Persekutuan Kita’ saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan selamat menyambut Hari Wilayah Persekutuan kali ke-51 tahun kepada seluruh warga Wilayah Persekutuan khususnya warga Labuan.

“Harapan saya, semoga sambutan berganda tahun ini akan membawa limpahan rezeki,kebahagian dan keharmonian buat kita semua,”katanya.

Hadir sama, Pengerusi Dewan Perniagaan Tiong Hua Labuan Datuk Wong Kii Yii, Pengerusi Dewan Perniagaan Islam Malaysia Datuk Ramli Tahir, Pengerusi Dewan Perniagaan India Labuan Datuk Dahlif Singh dan Pengerusi MPP Zon Labuan S. Roslee Matusin. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas