SERAMAI 2,000 pelajar Tingkatan 5 di sekolah-sekolah menengah di bawah Parlimen Bandar Tun Razak (BTR) menerima sumbangan sempena Program Kembali Ke Sekolah.
Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berharap sumbangan yang diberikan sedikit sebanyak membantu persiapan ibu bapa sempena musim persekolahan yang akan bermula 17 Februari ini.
“Sumbangan ini akan dilaksanakan secara berperingkat dan diselaraskan oleh Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak.
“Pada bulan Januari yang lalu, saya juga telah berkesempatan menyampaikan sumbangan Kembali Ke Sekolah untuk hampir 1,000 murid-murid Tahun 1 dan Tingkatan 4 di Parlimen Bandar Tun Razak.
“Kali ini kita berpeluang memberikan sumbangan buat anak-anak Tingkatan 5 pula,” kata Wan Azizah.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Program Kembali ke Sekolah Peringkat Sekolah Menengah Bandar Tun Razak bagi tahun 2025 di Dewan Mastika Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (IDB).
Beliau turut menyeru agar lebih banyak program sebegini dapat dilaksanakan oleh pihak-pihak lain terutamanya orang perseorangan atau syarikat korporat yang berkemampuan.
“Sama-samalah kita berkongsi rezeki, beramal jariah untuk kebajikan dan kepentingan pendidikan anak-anak Bandar Tun Razak,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin berkata, program tahun ini mempunyai kelainan berbanding tahun sebelumnya kerana pelajar menerima sumbangan beg yang mempunyai logo sekolah dan nama pelajar masing-masing.
“Ia bertujuan supaya pelajar dapat menjadikan sebagai kenangan dan memori.
Kalau ada nama dan logo sekolah masing-masing, pelajar boleh simpan sehingga habis belajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Diharapkan sumbangan ini digunakan sebaiknya untuk membeli keperluan pembelajaran dan mengurangkan beban ditanggung pelajar-pelajar di Bandar Tun Razak,” ujarnya pelajar sekolah Tingkatan 5 di Bandar Tun Razak menerima sumbangan wang tunai dan beg. – WILAYAHKU