KIRA-KIRA 200 penduduk di Pangsapuri Seri Malaysia menyertai program Karnival Sukan Komuniti Kampung anjuran Komuniti Madani Bandar Tun Razak dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), hari ini.
Acara yang berlangsung di Dataran Pangsapuri Seri Malaysia itu menghimpunkan lima kesenian permainan tradisional seperti congkak, batu seremban, sepak raga bulatan, dam haji dan tendang tin.
Pengerusi Komuniti Madani Parlimen Bandar Tun Razak merangkap Pengarah Projek, Hanif Lokmanal Hakim berkata penganjuran program seumpama ini merupakan salah satu wadah yang boleh mengeratkan perpaduan dalam sesebuah komuniti di samping menyemarakkan semangat perpaduan di kalangan penduduk setempat.
“Program ini terbuka kepada semua peringkat lapisan umur namun pada hari ini, saya lihat penglibatan anak muda khususnya kanak-kanak amat mengalakkan termasuk ibu bapa yang turut menyertai dan memberikan sokongan.

“Di peringkat sub zon, ia adalah pertama kali diadakan tetapi saya berhasrat untuk memperluaskan lagi program seperti ini khususnya melibatkan komuniti setempat dengan menjadikannya sebagai acara bulanan dengan beberapa tambahan acara sukan yang lain,” katanya kepada Wilayahku selepas majlis perasmian program berkenaan, hari ini.
Tambah Hanif, bagi menambah dan memupukkan lagi semangat kesukanan, dia sedang merancang untuk melakukan aktiviti hiking melibatkan enam zon di Bandar Tun Razak.
“Insya-Allah perancangannya adalah pada bulan Mei di mana skop penglibatan komuniti akan diperluaskan daripada sub zon sahaja kepada skala yang lebih besar,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Tugas-tugas Khas Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Mohamad Mahathir Mohamed Younos Mahathir berpandangan karnival sukan tersebut dilihat menjadi platform dalam memartabat dan mengangkat kembali keseniaan permainan tradisi dalam kalangan kalangan penduduk setempat.
“Saya lihat program seperti ini bukan sahaja melibatkan penduduk setempat secara aktif dalam aktiviti kesukanan tidak kira golongan dewasa mahupun kanak-kanak tetapi ia juga menjadi wadah penyatuan hubungan masyarakat setempat.
“Sukan komuniti bukannya satu benda baharu yang telah dilaksanakan. Setiap tahun kementerian akan menyediakan dana khas kepada parlimen kawasan, Majlis Perwakilan Penduduk (MPP), badan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya untuk menganjurkan aktiviti seperti ini
“Sebelum ini, di peringkat Bandar Tun Razak juga pernah dianjurkan Karnival Sukan Parlimen (SUKPA) di bawah penyelarasan Jabatan Wilayah Persekutuan yang mana sambutan diterima amat menggalakkan,” katanya selepas merasmikan Program berkenaan hari ini.
Jelas Mahathir, SUKPA adalah acara tahunan yang akan dianjurkan oleh setiap parlimen kawasan. – WILAYAHKU