Berita

200 pelajar dari Bandar Tun Razak terima bantuan awal pengajian

- Diterbit 27 September 2024 9:21 AM MYT

SERAMAI 200 pelajar menerima bantuan awal pengajian daripada Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Pelajar yang menerima bantuan itu, sebelum ini menyertai bengkel Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Bandar Tun Razak dan berjaya mendapat keputusan yang cemerlang.

“Bacalah dengan lanjut untuk menambah ilmu yang diketahui.

“Pendidikan tidak berhenti dimana-mana dan tambahlah sedikit masa untuk membaca. Hidup ini memang mencabar, pendidikan lanjut akan membantu,” kata Wan Azizah.

Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penyerahan Bantuan Awal Pengajian ke Institusi Pendidikan Tinggi di Dewan Mestika, Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (IDB).

Menurut Wan Azizah, bantuan sumbangan itu diberikan kepada anak-anak dalam Parlimen Bandar Tun Razak agar dapat mengurangkan beban mereka dalam perjalanan menimba Ilmu sehingga ke menara gading.

“Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan majlis pada semalam.

“Semoga kita semua dilimpahi segala kebaikan di dunia dan diakhirat,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin berkata kerajaan amat menitikberat soal pendidikan bagi membina insan yang berilmu.

Beliau berkata keutamaan juga diberikan kepada anak-anak Bandar Tun Razak dalam perjalanan menimba Ilmu hingga ke menara gading.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Yayasan Bank Rakyat, Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang telah memainkan peranan penting majlis semalam

“Semoga bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu pengajian pelajar-pelajar,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas