SEBANYAK 200 asnaf menerima tambahan bantuan keperluan asasi sebanyak RM150 sebulan menerusi e-dompet daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dalam Program Santun Kasih MAIWP di PPR Seri Kota, Bandar Tun Razak, di sini hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai’im Mokhtar berkata inisiatif itu merupakan transformasi teknologi digital dalam pengagihan zakat melalui mekanisme agihan tanpa tunai kepada golongan asnaf.
“Inisiatif ini dapat membantu para asnaf mendapatkan bahan mentah harian seperti ayam, sayur dan sebagainya.
“Insya-Allah bantuan keperluan asasi ini akan dinaikkan daripada RM150 kepada RM300 mulai tahun hadapan,” katanya menurut kenyataan dikeluarkan MAIWP, hari ini.
Penerima bantuan boleh membuat pembayaran kod QR menerusi aplikasi Boost di pasar raya terpilih seperti Mydin, Sam’s Groceria (Nu Sentral) dan Labuan Supermarket serta di lori bergerak MYGrocer yang akan bergerak setiap hari di PPR sekitar ibu negara bermula 8.30 pagi hingga 1 tengah hari.
Beliau berkata sejak dilancarkan pada Jan 2022 hingga Julai 2023, sebanyak 21,898 asnaf telah menerima manfaat berkenaan dengan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM30.45 juta.
Katanya, bantuan yang bermatlamatkan ‘Sifar Kelaparan’ itu merupakan usaha MAIWP untuk membantu meringankan beban golongan asnaf membeli barangan keperluan harian serta meningkatkan kuasa beli mereka, selaras dengan Pelan Transformasi Al-Falah yang memfokuskan kesejahteraan dan kebajikan sosial. – BERNAMA