Berita

20 NGO sokong keputusan larang kapal Israel memasuki Malaysia

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 20 Disember 2023 7:05 PM MYT

KIRA-KIRA 20 badan bukan kerajaan (NGO) hari ini menzahirkan sokongan terhadap keputusan kerajaan Malaysia untuk tidak lagi menerima kapal menggunakan bendera Israel memasuki negara ini yang berkuat kuasa serta-merta.

Antaranya ialah Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Pertubuhan Kebajikan Rakyat Sejagat (Sejagat), Persatuan Cinta Gaza Malaysia, Muslim Care dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Presiden MAPIM Mohd Azmi Abdul Hamid berkata beliau mewakili kesemua NGO itu yang menyokong penuh keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dan menyifatkan tindakan tersebut sebagai selaras dengan pendirian Malaysia menyokong perjuangan Palestin.

“Saya dan NGO Malaysia bangga, kita dapat gerak dan angkat isu Palestin dengan restu kerajaan, rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama namun pendiriannya adalah isu ini isu kemanusiaan,” katanya kepada Bernama di Kementerian Pengangkutan di sini hari ini.

Terdahulu, beliau bersama beberapa wakil NGO menyerahkan memorandum menyokong keputusan kerajaan itu kepada wakil Kementerian Pengangkutan.

Perdana Menteri hari ini mengumumkan keputusan kerajaan untuk tidak lagi menerima kapal menggunakan bendera Israel memasuki negara ini yang berkuat kuasa serta-merta.

Kerajaan juga melarang mana-mana kapal yang dalam perjalanan ke Israel memuatkan kargo di pelabuhan Malaysia.

Anwar berkata langkah itu adalah tindak balas terhadap tindakan Israel yang mengetepikan prinsip asas kemanusiaan serta melanggar undang-undang antarabangsa menerusi pembantaian dan kekejaman berterusan terhadap warga Palestin.

Presiden Sejagat Syed Sheikh Alattas Syed Hassan pula berkata sikap tegas yang ditunjukkan oleh kerajaan Malaysia itu membuktikan bahawa negara serius dalam isu membabitkan rakyat Palestin.

“Insya-Allah, kita sokong dan rakyat Malaysia akan sokong keputusan ini,” katanya.

Menurut laporan media antarabangsa, sejak tercetusnya konflik pada 7 Oktober lepas hingga kini, sekurang-kurangnya sejumlah 17,177 penduduk Palestin termasuk 7,112 kanak-kanak terbunuh manakala 46,000 lagi cedera. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas