HUJAN lebat kira-kira satu jam bermula 4 petang semalam menyebabkan sekurang-kurangnya 20 kenderaan terperangkap akibat banjir di Presint 11 Zon 4A hari ini.
Menerusi satu video yang dimuat naik di Facebook memaparkan kejadian banjir kilat itu dipercayai berlaku susulan hujan lebat di kawasan Putrajaya sejak beberapa jam lalu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan Putrajaya, Abdul Manaf Che Isa berkata dua jentera berserta 13 anggota digegaskan ke lokasi bagi membuat pemantauan selepas menerima panggilan kecemasan pada 4.44 petang.
“Kerja-kerja membantu mengalirkan air dan membersihkan saluran tersumbat telah dilaksanakan oleh anggota bomba.
“Banjir surut kira-kira 5.30 petang tadi,” katanya.
Beliau berkata pada masa ini anggota bomba melaksanakan pemantauan di kawasan berkenaan berikutan hujan renyai.
“Pemantauan semasa turut dilakukan melalui kamera litar tertutup (CCTV) dan kerjasama memperoleh maklumat berkaitan melalui Putrajaya Command Centre (PPj) juga dilaksanakan,” katanya. – WILAYAHKU