Berita

20 kawasan di Labuan berdepan gangguan bekalan air

- Diterbit 21 Oktober 2024 4:31 PM MYT

KIRA-KIRA 20 kawasan di beberapa buah kampung di Labuan mengalami gangguan bekalan air susulan kerosakan Booster Pam di Stesen Rumah Pam, Kampung Bukit Kalam.

Bahagian Bekalan Air Labuan (BBAL) dalam kenyataan memaklumkan susulan kerosakan tersebut beberapa kawasan tidak menerima bekalan air.

Katanya, antara kawasan dan tangki simpanan yang terlibat adalah tangki Pohon Batu 1 dan 2, tangki Layang-Layangan, tangki Kiansam dan Lajau.

“Bekalan air dijangka pulih dalam masa dua hari atau lebih dan kerja-kerja pembaikan Booster Pam telah siap sepenuhnya dan operasi pengisian semula tangki imbangan di Bukit Imbangan sedang giat dijalankan.

“Susulan paras air ditangki Imbangan Bukit Besar di pasar rendah menyebabkan gangguan bekalan air dirasai di beberapa kawasan terjejas,” katanya.

Justeru itu, BBAL sedang berusaha meminimakan impak gangguan bekalan air kepada para pengguna yang terjejas.

Orang ramai diminta merujuk sebarang kemaskini kenyataan berkaitan gangguan bekalan air di halaman rasmi Facebook BBAL. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas