Berita

20 kakitangan DBKL, APM, Bomba giat bersihkan pokok tumbang di Jalan Pinang

- Diterbit 14 Mei 2024 9:39 AM MYT

SEBANYAK sembilan buah kenderaan iaitu empat buah kereta dan lima buah motosikal terlibat dalam insiden pokok tumbang di Jalan Pinang petang tadi.

Unit Media, Jabatan Perancangan Korporat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan memaklumkan sekitar pukul 3.50 petang pokok dari spesis Ficus sp (ara) tumbang di Pocket Park, Jalan Pinang dan menutupi hampir keseluruhan jalan.

“Seramai 20 orang kakitangan DBKL berada di lokasi kejadian bagi menjalankan kerja-kerja penyelamatan dan pengalihan pokok.

“Mereka merupakan kakitangan DBKL dari Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar, Jabatan Penguatkuasaan dan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Elektrikal,” katanya dalam kenyataan.

Ujar kenyataan itu, turut berada di lokasi ialah anggota daripada agensi sahabat seperti Pasukan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam, dan Polis Diraja Malaysia dan buat masa ini, kerja-kerja pengalihan dahan pokok masih dilakukan.

“Walau bagaimanapun, setakat ini tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.

Dalam insiden petang tadi sebuah kenderaan PDRM jenis Proton X70 yang merupakan konvoi Lead Car Ketua Menteri Melaka, Datuk Abdul Rauf Yusof rosak selepas ditimpa pokok berkenaan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas