SEBANYAK dua Pusat Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) akan dibina di Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata pusat ini akan menjadi pusat penyebaran maklumat dan pendidikan mengenai inisiatif kemampanan, pengurangan karbon dan mitigasi perubahan iklim.
Tambah Zaliha, adalah penting untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan masyarakat berkaitan perkara tersebut memandangkan penglibatan semua pihak termasuk orang awam melalui pendekatan whole of nation penting dalam memastikan amalan ESG terlaksana dengan baik di Malaysia.
“Kita akan lakukan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) lain kalau mereka mahu ambik pendekatan sama seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Akhirnya kita nak supaya kesan penubuhan ESG bukan sahaja memastikan memberi pendidikan kepada penduduk kota tetapi kesan kepada ekosistem, perubahan iklim, ekonomi serta komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikan pada sidang akhbar selepas merasmikan ESG Centre Kuala Lumpur dan Taman Bandar TRX di Tun Razak Exchange hari ini.
Turut hadir, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Kamarulzaman Mat Salleh.
ESG Centre Kuala Lumpur merupakan cetusan idea Datuk Bandar Kuala
Lumpur sebagai manifestasi kesungguhan DBKL ke arah kemampanan sejagat
dan menyokong aspirasi rangka kerja ESG yang selari dengan cita-cita DBKL
untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya yang mampan
berteraskan ESG, setanding dengan bandar raya terkemuka lain di dunia.
ESG merupakan singkatan kepada E bagi environment iaitu alam sekitar, S
bagi social atau masyarakat dan G bagi governance iaitu tata kelola. ESG
ialah proses di mana organisasi menilai tahap kemampanan dan kesan
operasi mereka kepada alam sekitar, sosial dan tatakelola
Jelas Zaliha, pusat ini juga akan berfungsi sebagai pusat rangkaian bagi perhubungan antarabangsa dan membolehkan kerjasama dengan pusat-pusat ESG di seluruh dunia
“Dalam masa yang sama meningkatkan profil Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar rendah karbon.
“Harapan saya juga adalah untuk melihat kerjasama erat awam-swasta, penduduk, NGO dan semua pihak tentang pendidikan dan kesedaran mengenai kepentingan kemampanan ini mencapai kepada matlamat dan hasil yang optimum,” ujarnya – WILAYAHKU.