Berita

2 kali teknik ‘flushing’ digunakan, mangsa tanah jerlus masih belum ditemui

- Diterbit 26 Ogos 2024 11:37 AM MYT

SEBANYAK dua kali teknik ‘flushing’ digunakan secara berperingkat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang wanita warga India yang terjatuh akibat tanah jerlus di Jalan Masjid India, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Jabatan Perancangan Korporat, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata walau bagaimanapun, setakat ini, mangsa masih belum ditemui selepas teknik itu dilakukan semalam.

“Pihak Indah Water Konsortium (IWK) telah memulakan ‘flushing’ pada sebelah malam yang dilaksanakan di lurang kumbahan lima yang mengambil masa sehingga pukul 2 pagi tadi.

“Pencarian oleh pasukan SAR akan disambung pada pagi ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baru-baru ini media melaporkan, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif, berkata teknik ‘flushing’ adalah bagi menyekat aliran air di lurang kumbahan dan setelah air melimpah, sekatan akan dilepas untuk menghasilkan arus aliran air yang deras.

Beliau berkata, teknik itu akan dikoordinasikan oleh pihak IWK bermula di lurang kumbahan lima berhampiran bangunan Agrobank.

Dalam kejadian pagi Jumaat lalu, mangsa warga India berusia 48 tahun dikenali Vijayaletchumy dilaporkan hilang selepas menjadi mangsa tanah jerlus sedalam lapan meter di Jalan Masjid India, di sini.

Laporan kejadian itu diterima JBPM Kuala Lumpur pada pukul 8.22 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa dan BBP Hang Tuah dikejarkan ke lokasi kejadian. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas