Berita

2.65 juta ahli aktif KWSP capai simpanan asas

- Diterbit 6 Disember 2024 11:19 AM MYT

SERAMAI 2.65 juta atau 36.2 peratus daripada 7.33 juta ahli aktif formal Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mencapai simpanan asas mengikut umur.

Menurut Kementerian Kewangan (MoF), jumlah itu dicatatkan setakat 30 Oktober lalu berbanding 2.21 juta atau 30.4 peratus daripada 7.25 juta ahli aktif formal pada Disember 2022.

Katanya, ketidakcukupan simpanan persaraan adalah disebabkan beberapa faktor seperti struktur gaji yang rendah selain umur yang layak untuk melakukan pengeluaran penuh iaitu 55 tahun adalah tidak selaras dengan umur persaraan Malaysia.

“Ini diikuti caruman yang tidak konsisten serta kadar celik kewangan dalam kalangan rakyat yang rendah menyebabkan kurang kesedaran terhadap kepentingan perancangan kewangan dan persaraan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

MoF menjawab soalan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (BN-Sembrong) mengenai unjuran persediaan rakyat Malaysia menghadapi kemampuan kewangan menjelang usia persaraan.

Tambahnya, simpanan asas ialah satu jumlah simpanan dalam Akaun Persaraan yang ditetapkan KWSP bagi membolehkan ahli memperoleh simpanan sekurang-kurangnya RM240,000 pada usia 55 tahun.

Katanya, ia membolehkan ahli memperoleh jumlah minimum sebanyak RM1,000 setiap bulan pada tahun pertama persaraan.

“Namun kesan daripada gandaan dividen tahunan membolehkan nilai pengeluaran pendapatan persaraan bulanan bertambah dari tahun ke tahun.

“Kesan daripada gandaan dividen tahunan tersebut, jumlah pengeluaran bulanan dianggarkan boleh meningkat sehingga RM2,728 pada usia 75 tahun berdasarkan andaian jangkaan purata hayat penduduk Malaysia,” katanya.

Oleh itu jelasnya, purata pengeluaran bulanan untuk keseluruhan tempoh dari 55 tahun sehingga 75 tahun (selama 20 tahun) dianggarkan sebanyak RM1,697 sebulan.

“Sebagai salah satu institusi perlindungan sosial, KWSP sentiasa berusaha mengambil langkah proaktif dalam memperkukuh asas perlindungan sosial untuk ahlinya dari segi kecukupan simpanan persaraan bagi menampung keperluan perbelanjaan di hari tua,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas