KEMENTERIAN Komunikasi memperkenalkan inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG) dalam usaha menyemarakkan semangat patriotisme menjelang Bulan Kebangsaan yang bakal tiba.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata amalan mengibarkan Jalur Gemilang perlu sentiasa dipergiat terutamanya ketika sambutan Bulan Kebangsaan.
“Jalur Gemilang merupakan simbolik kemerdekaan dan perpaduan rakyat Malaysia. Inilah bendera yang kita kibarkan di setiap detik kejayaan yang ditempa di seluruh dunia.
“Namun usaha ini sebenarnya perlu disemarakkan bermula di tanah air sendiri melalui rumah yang menjadi tempat paling selamat untuk diduduki keluarga tersayang.
“Saya juga ingin mengingatkan semua untuk mengibarkan Jalur Gemilang yang sempurna iaitu bendera yang tidak koyak, tidak uzur dan tidak lusuh kerana ia adalah gambaran diri kita sebagai warganegara bertanggungjawab dan cintakan negara,” katanya pada sidang media selepas Program Ekspresi Bulan Kebangsaan 2024 yang diadakan di Stesen Sentral Kuala Lumpur hari ini.
Majlis yang dihadiri lebih 1,000 orang terdiri daripada orang awam, Komuniti orang kurang upaya (OKU), Komuniti MADANI dan ramai lagi, turut memperkenalkan Kompilasi Lagu Patriotik dan Perpaduan oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) yang mengandungi 22 lagu serta boleh dimuat turun secara percuma di portal Rasmi Merdeka360.
Tambah Fahmi, untuk maklumat lanjut berkenaan Ekspresi Bulan Kebangsaan serta program-program sempena Bulan Kebangsaan, orang ramai boleh melayari portal www.merdeka360.my. – WILAYAHKU