JUMLAH keseluruhan pemulihan aset melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang direkodkan setakat ini berjumlah RM29,752,034,475.13 iaitu 70 peratus daripada kira-kira RM42 bilion yang dipercayai telah diselewengkan.
Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), peratusan itu mencatatkan kadar pemulihan yang sangat tinggi berbanding dengan kadar pemulihan aset global hasil daripada usaha bersepadu antara agensi penguatkuasaan dan kolaborasi antarabangsa.
Justeru katanya, kejayaan pemulihan aset ini membuktikan keupayaan serta komitmen berterusan SPRM dalam membawa pulang aset yang diperoleh secara tidak sah.
“Ia juga mencerminkan keberkesanan kerjasama antara SPRM dan Commercial Affairs Department (CAD) Singapura dalam memerangi rasuah serta pengubahan wang haram,” jelas SPRM dalam kenyataan.
SPRM menambah, jumlah aset yang telah dikembalikan adalah sebanyak RM14,670,676.61, melibatkan mata wang asing S$1,388,122.52, AS$85,868.53, NZ$344,163.76, A$3,181,097.67.
Katanya, dana yang diperoleh ini telah dimasukkan ke dalam Akaun Amanah Pemulihan Aset (Assets Recovery Trust Fund) di bawah Kementerian Kewangan.
“Sebanyak RM12,974,730.41 telah dikembalikan kepada kerajaan hasil daripada penjualan hartanah serta pemindahan dana daripada akaun syarikat Tan Kim Loong, seorang warganegara Malaysia yang dikaitkan dengan Low Taek Jho.
“Pemindahan dana ke Akaun Amanah Pemulihan Aset telah berlaku pada 18 Februari, 7 Mac dan 10 Mac lalu,” katanya.
Tambah SPRM, sejumlah RM1,695,946.20 telah dipulihkan daripada Yak Yew Chee, seorang warganegara Singapura dan bekas pegawai bank yang telah disabitkan kesalahan di Singapura kerana penglibatannya dalam kes 1MDB.
Dana tersebut jelasnya, telah dikreditkan ke Akaun Amanah Pemulihan Aset pada 21 Januari 2024.
“Ini menjadikan jumlah pemulihan aset 1MDB keseluruhan setakat ini adalah sebanyak RM 29,752,034,475.13 iaitu 70% daripada kira-kira RM42 billion yang dipercayai telah diselewengkan.
“SPRM akan terus komited dalam usaha mendapatkan semula aset negara yang diseleweng serta bekerjasama dengan pihak berkuasa antarabangsa dalam menangani kes-kes berkaitan rasuah dan jenayah kewangan,” tegasnya. – WILAYAHKU