Berita

1C1R tempat ke-3 SDG City Awards

- Diterbit 25 November 2024 3:36 PM MYT

INISIATIF program kitar semula yang dipelopori Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melibatkan warga Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) mendapat pengiktirafan antarabangsa sekali gus meraih tempat ketiga dalam SDG City Awards anjuran Citynet-UNESCAP.

Inisiatif yang bermula pada tahun 2021 itu menyasarkan golongan rentan yang mendiami unit PPR dan PA bertujuan untuk membantu golongan memperolehi pendapatan sampingan serta dalam masa sama memulihara alam sekitar.

Program ini antara inisiatif DBKL yang berjaya memberikan galakan kepada warga PPR dan PA untuk membantu mereka mengurangkan kadar sewaan rumah dan dapat meningkatkan kepekaan untuk mengurangkan sampah dan menggalakkan aktiviti kitar semula.

Anugerah tersebut dibuat sempena Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif ke-44 yang berlangsung pada 18 hingga 20 November 2024 di Iloilo City, Filipina.

Pengarah Eksekutif Perancangan DBKL, Datuk Zulkurnain Hassan, mengetuai delegasi DBKL menerima anugerah tersebut.

DBKL turut dianugerahkan Circular City Awards atas pelaksanaan inisiatif kitar semula berkonsepkan sistem barter, selari dengan prinsip ekonomi kitaran dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

SDG City Awards kali ini menerima lebih 70 kajian kes dari rantau Asia Pasifik, dengan 14 pencalonan akhir terpilih.

Program 1C1R merupakan inisiatif kitar semula berasaskan sistem barter, di mana barangan kitar semula boleh ditukar kepada barangan asas atau digunakan untuk membayar sewa rumah dan ia dilaksanakan di seluruh kawasan PPR dan PA.

Dalam program tersebut, Pihak Berkuasa Bandar Raya Busan, Korea Selatan meraih tempat pertama menerusi – Kompleks Kebudayaan Kanak-Kanak Busan dan tempat kedua adalah Baguio City, Filipina menerusi kajian Memetakan Ketahanan Bandar: Digital Berkembar kepada Indeks Kebolehdiaman Baguio.

Selain Kuala Lumpur, Majlis Bandaraya Subang Jaya turut menjadi finalis menerusi inisiatif WhatsApp Business dan Majlis Bandaraya Seberang Perai melaui inisiatif Sumbangan Pengurusan Trafik dalam Komersial melalui Program TRAFIESTA.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas