Berita

1BestariNet: Satu bentuk pembaziran, rakyat kecewa

SPRM memulakan siasatan ke atas tuntutan bayaran tender perkhidmatan yang dianugerahkan kepada YTL Communications Sdn Bhd (YTL). - Gambar hiasan
- Diterbit 13 September 2024 9:00 AM MYT

SEORANG penganalisis politik berpandangan terdapat rasional untuk melihat projek 1BestariNet sebagai satu bentuk pembaziran kerana hasil yang dijanjikan tidak tercapai walaupun kosnya sangat besar.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata sumber awam yang dilaburkan dalam projek itu sepatutnya memberi impak yang lebih ketara kepada pendidikan.

“Kesannya, ini mencetuskan kekecewaan dalam kalangan rakyat, terutama guru dan pelajar yang tidak mendapat faedah yang diharapkan,” katanya.

Mengulas lanjut, Awang Azman berkata projek 1BestariNet yang diperkenalkan pada tahun 2011, bertujuan untuk memperbaiki infrastruktur pendidikan digital di Malaysia melalui penyediaan Internet berkelajuan tinggi di sekolah-sekolah.

Beliau berkata namun, projek itu mendapat banyak kritikan kerana masalah pelaksanaan yang tidak berkesan, infrastruktur yang kurang mantap dan kos yang tinggi dengan hasil yang dilihat tidak berpadanan.

“Banyak sekolah yang tidak dapat mengakses sambungan Internet yang stabil,menyebabkan ia dikritik sebagai projek gajah putih,” katanya.

Sementara itu, Awang Azman berkata sebagai badan yang bebas, Suruhan jaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempunyai kuasa untuk menyiasat projek 1BestariNet jika terdapat unsur-unsur ketidaktelusan atau rasuah dalam pelaksanaannya.

Beliau berkata namun penting untuk memastikan siasatan dijalankan secara bebas, adil dan tanpa campur tangan politik.

Katanya, keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tidak campur tangan dalam siasatan adalah tindakan yang wajar untuk memastikan integriti proses penyiasatan dan mengelakkan tuduhan bahawa siasatan itu bermotifkan politik.

“Perlu diingat bahawa mana-mana siasatan belum tentu menunjukkan salah. Keputusan mahkamah yang akan menentukan sama ada bersalah atau sebaliknya.

“Sudah tentu perbicaraan ini  mengambil masa yang panjang dan ini menjejaskan kredibiliti dan persepsi awam,” katanya.

Tambah Awang Azman, siasatan terhadap 1BestariNet boleh mencemarkan imej Muhyiddin terutama dalam kalangan penyokongnya.

Beliau berkata reputasi Muhyiddin bergantung pada hasil siasatan dan bagaimana beliau menangani isu ini secara peribadi dan politik.

“Sekiranya beliau dibersihkan daripada tuduhan, ia boleh memperkukuhkan imejnya sebagai pemimpin yang bersih. Tetapi jika didapati bersalah, ia boleh memberi kesan negatif yang serius terhadap karier politik beliau,” katanya.

Pada 6 September lalu, Muhyiddin mengalu-alukan siasatan SPRM terhadap projek 1BestariNet bernilai RM4 bilion sambil menyatakan keyakinan tidak terbabit dengan dakwaan berkait dengannya.

Muhyiddin berkata projek itu pernah disiasat suatu ketika dahulu, namun tiada perkembangan dilaporkan.

Beliau dilaporkan berkata projek itu dicadangkan untuk tender terbuka dan dilakukan secara tender terbuka antarabangsa. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas